TOKYO: Sekurang-kurangnya lapan daripada 10 anak beruang coklat yang lahir tahun ini di kawasan terpencil di utara Jepun, dilaporkan mati kebuluran di tengah-tengah kekurangan ikan salmon.
Lapor The Guardian, para pakar menyalahkan peningkatan suhu laut disebabkan krisis iklim menjadi punca kekurangan hidupan marin itu.
Selain buah oak, salmon spesies merah jambu menjadi sumber makanan penting bagi kira-kira 500 beruang coklat yang tinggal di sepanjang semenanjung Shiretoko Hokkaido.
Shiretoko Hokkaido merupakan tapak warisan dunia Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) yang terkenal dengan pantai menakjubkan dan haiwan liar.
Pegawai tempatan bertindak balas selepas mendapat aduan dari seorang pengendali bot pelancongan yang ternampak seekor anak beruang yang kelaparan mencari makanan di pantai timur semenanjung baru-baru ini.
Dilaporkan, anak beruang itu sedang menyelongkar timbunan batu dan rumpai laut untuk mencari makanan.
Salmon merah jambu yang membiak di sungai Hokkaido, dikatakan hidup di laut ketika musim sejuk, sebelum kembali ke sungai Shiretoko untuk bertelur antara bulan Ogos dan Oktober.
Beruang coklat biasanya mencari salmon semasa ke hulu sungai namun kini terpaksa berenang di laut kerana kekurangan ikan sungai.
“Kami dapati sebilangan beruang sudah menjadi sangat kurus. Populasi haiwan itu berdepan masa sukar kerana tiada ikan di sungai sama seperti tahun lalu,” kata pengendali bot, Katsuya Noda.
Menurut pakar, suhu permukaan laut di Hokkaido kekal melebihi 20 darjah Celsius sejak pertengahan Julai hingga awal Ogos 2021, kira-kira 5 darjah Celsius lebih tinggi berbanding purata untuk tempoh dalam tahun itu.
Sementara itu, penyelidik dari Yayasan Semula Jadi Shiretoko, Masami Yamanaka berkata, kekurangan ikan salmon digabungkan dengan hasil penuaian buah oak yang merosot, memberi kesan buruk terhadap populasi anak beruang coklat.
“Dianggarkan 70 hingga 80 peratus anak beruang yang lahir pada tahun ini mati. Ini adalah keadaan yang amat serius,” katanya.