Alat bedah sebesar piring tertinggal dalam perut

Alat bedah sebesar piring tertinggal dalam perut

SEORANG wanita menderita kesakitan di abdomen selepas menjalani pembedahan caesarean di Hospital Auckland City.-AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AUCKLAND: Seorang wanita menderita kesakitan kronik pada bahagian abdomen selepas alat sebesar piring didapati tertinggal di dalam perutnya ketika menjalani pembedahan caesarean di sebuah hospital di Auckland tiga tahun lalu.

Berdasarkan laporan kes tersebut, alat retraktor pembedahan Alexis (AWR) didapati tertinggal di dalam perut wanita berkenaan selepas bayinya dilahirkan di Hospital Auckland City pada tahun 2020.

Kelmarin, Pesuruhjaya Kesihatan dan Kurang Upaya New Zealand, Morag McDowell menegaskan, Lembaga Kesihatan Daerah Auckland melanggar kod hak pesakit berusia 20-an itu, susulan siasatan yang dijalankan selama hampir tiga tahun terhadap kes tersebut.

“Terdapat keadaan yang jelas untuk membuat kesimpulan bahawa apabila objek asing ditinggalkan di dalam pesakit semasa pembedahan, tahap penjagaan di hospital berkenaan gagal dilaksanakan mengikut standard yang ditetapkan.

“Perkara sebegini tidak sepatutnya berlaku,” kata McDowell dalam laporannya berhubung kes itu.

Laporan itu memperincikan bahawa wanita berkenaan menjalani pembedahan berjadual kerana kebimbangan mengenai masalah plasenta previa.

Namun alat AWR berukuran 17 sentimeter (sm) yang tertinggal di dalam perut wanita itu mengakibatkan dia mengalami sakit perut kronik selama lebih 18 bulan hingga terpaksa dikejarkan ke unit rawatan rapi (ICU).

Peranti tersebut ditemui secara kebetulan pada imbasan tomografi berkomputer (CT) yang dijalankan ke atas wanita itu dan pembedahan untuk mengeluarkannya dilakukan pada tahun 2021.

Dalam satu kenyataan, Pengarah Operasi Lembaga Kesihatan Daerah Auckland, Dr. Mike Shepherd memohon maaf atas kesilapan itu.

“Bagi pihak perkhidmatan kesihatan wanita, kami amat kesal atas apa yang berlaku kepada pesakit dan keluarganya.

“Kami sudah menyemak tahap penjagaan pesakit dan menghasilkan penambahbaikan pada sistem yang akan mengurangkan kemungkinan kejadian serupa berulang. Kami juga mengiktiraf cadangan yang dibuat dalam laporan pesuruhjaya dan berusaha melaksanakannya dengan sebaik mungkin,” katanya.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya