MALAGA: Seorang lelaki Sepanyol berusia 60 tahun yang mendakwa sangat kesepian dan mengalami masalah kesihatan serius merayu untuk dipenjarakan atas alasan tidak mahu melakukan sebarang jenayah.
Justo Márquez dari Granada dilaporkan berdiri di luar Penjara Alhaurín de la Torre di Malaga selama beberapa hari sambil memegang sepanduk tertulis ‘Saya mahu pergi ke penjara’.
Marquez memberitahu wartawan bahawa dia sudah bertemu dengan warden penjara tersebut namun pegawai berkenaan enggan memenjarakannya secara sukarela.
Márquez yang menghidap kanser, kemurungan, kebimbangan dan masalah jantung mendakwa bergelut untuk menghilangkan kesepiannya setiap hari dan merasakan penjara adalah pilihan terbaik bagi menyelesaikan masalah itu.
“Saya tidak dapat mencari bantuan di mana-mana dan masuk ke penjara adalah idea terbaik yang saya ada, tetapi saya tidak mahu melakukan sebarang jenayah,” kata Márquez kepada agensi berita Sepanyol EFE.
Bapa kepada lima anak yang sudah berbulan-bulan tidak berjumpa atau bercakap dengan keluarganya pernah dipenjarakan selama beberapa tahun kerana memiliki dadah, tetapi mendakwa sudah bersih daripada jenayah itu selama tiga dekad.
Marquez sudah dirujuk kepada perkhidmatan kesihatan mental beberapa kali namun mengakui gagal menyelesaikan masalah kesepiannya dan menegaskan akan terus melancarkan mogok di hadapan Penjara Alhaurín de la Torre sehingga dia dibenarkan masuk.