WARSAW: Sebuah kubur ‘puntianak kanak-kanak’ ditemukan di Poland dengan mangsa ditanam dalam keadaan mengerikan dan kaki dikunci besi mangga dipercayai untuk mengelak ia bangkit semula.
Ahli arkeologi menemui rangka itu ketika penggalian di tanah perkuburan abad ke-17 di kampung Pien di Poland, hanya setahun selepas ‘wanita puntianak’ ditemui di tapak yang sama.
Lapor akhbar The Times, mayat budak itu ditanam dengan bahagian kepalanya dipusing menghadap ke bawah tanah kerana penduduk kampung percaya cara tersebut dapat menghalangnya daripada terbang menghisap darah manusia jika ‘terjaga’.
Bahagian kaki pada rangka yang dipercayai berusia sekitar enam tahun itu turut dipasang dengan mangga besar dipercayai untuk menahan kakinya daripada merangkak keluar dari kubur.
Ahli arkeologi percaya mereka menemui bukti pertama mayat kanak-kanak yang dikuburkan sebegitu rupa kerana dikhuatiri penduduk tempatan berisiko dihidupkan semula.
Ketua pasukan tersebut, Profesor Dariusz Polinski dari Universiti Nicholas Copernicus di bandar Torun berkata, cara mayat dikebumikan jelas menunjukkan kanak-kanak tersebut sangat ditakuti penduduk ketika itu.
Menurut Polinski, pada abad ke-11, penduduk di Eropah Timur mula menjadi takut dengan kewujudan vampire atau puntianak dan menjelang abad ke-17, amalan pengebumian luar biasa sering dijalankan di seluruh Poland selepas wabak hantu tersebut dikatakan menular di negara itu.
“Ketakutan itu malah membawa kepada beberapa hukuman mati terhadap orang tidak bersalah yang dituduh sebagai puntianak.
“Mereka yang meninggal dunia dan dianggap berisiko untuk hidup kembali sering dikebumikan di tanah perkuburan terpencil jauh dari penempatan utama.
“Cara yang sering dilakukan untuk melindungi daripada kepulangan si mati termasuk memotong kepala atau kaki mayat, menghadapkan wajah mayat ke bawah supaya mereka hanya mampu menggigit tanah selain membakar atau menghancurkan mayat dengan batu,” katanya.