80,000 sertai protes bantah keganasan polis di Perancis

80,000 sertai protes bantah keganasan polis di Perancis

PENUNJUK perasaan memegang sepanduk membantah keganasan polis ketika menyertai perarakan di Paris, Perancis.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIS: Puluhan ribu penunjuk perasaan menyertai perarakan anjuran pihak berhaluan kiri di Perancis bagi membantah keganasan polis yang turut mencetus pertempuran di beberapa lokasi perhimpunan di pinggir Paris.

BANTAH KEGANASAN POLIS

Bantahan di seluruh negara itu berlaku kurang tiga bulan selepas kes seorang remaja ditembak mati anggota polis di luar Paris ketika pemeriksaan lalu lintas, yang mencetuskan rusuhan selama seminggu di bandaraya itu serta lokasi lain.

Di Paris, penunjuk perasaan dari semua peringkat umur mengangkat sepanduk tertera slogan ‘Henti keganasan negara’, ‘Jangan maafkan atau lupakan’ dan ‘Undang-undang membunuh!’.

Penunjuk perasaan menyasarkan artikel 435-1 Kod Keselamatan Dalaman yang diperkenalkan pada 2017 bagi memperluaskan kelonggaran kepada pihak berkuasa untuk melepaskan tembakan sekiranya seseorang suspek enggan mematuhi arahannya.

Bantahan itu dilancarkan bagi menyahut seruan oleh golongan radikal berhaluan kiri termasuk golongan tegar, France Unbowed (LFI).

Pihak kesatuan mendakwa kira-kira 80,000 orang menyertai protes di seluruh Perancis termasuk 15,000 di Paris tetapi Kementerian Dalam Negeri menganggarkan hanya 31,300 orang terbabit dengan 9,000 di ibu negara.

Kerajaan mengecam tindakan ganas protes tersebut selepas beberapa anggota polis dilaporkan terperangkap di dalam kenderaan mereka ketika diserang penunjuk perasaan.

Ratusan peserta berpakaian serba hitam dan bertutup kepala keluar dari perarakan utama di Paris sebelum bertindak memecahkan tingkap cawangan bank serta membaling objek ke arah kereta polis yang tersekat dalam lalu lintas.

CETUS PERTEMPURAN

Polis Paris berkata, beberapa kereta anggotanya diserang dengan palang besi, menyebabkan unit polis anti rusuhan terpaksa campur tangan untuk meredakan keadaan.

Polis turut memaklumkan tiga pegawainya mengalami cedera ringan akibat serangan itu.

Satu video yang disiarkan di saluran BFMTV dan dikongsi di media sosial menunjukkan sekumpulan penunjuk perasaan bertopeng berlari mengejar sebuah kereta dan menendangnya berulang kali sebelum seorang lelaki datang dan dilihat cuba memecahkan tingkap menggunakan palang besi.

Seorang anggota keselamatan kemudian keluar dan mengacukan senjata, namun tidak melepaskan tembakan sebaliknya dilihat masuk semula ke dalam kenderaan berkenaan.

“Kami melihat ke mana arah kebencian anti-polis ini akan menghala. Keganasan terhadap polis tidak boleh diterima,” kata Menteri Dalam Negeri, Gerald Darmanin di laman sosial X.

Ketua Polis Paris, Laurent Nunez berkata, tiga individu ditahan susulan kejadian itu, sementara Kementerian Dalam Negeri pula memaklumkan tiga lagi ditahan di lokasi lain di Perancis.

Antara remaja yang turut menyertai perarakan di bandar utara Lille termasuk Mohamed Leknoun, 27, selepas abangnya, Amine dilaporkan terbunuh pada Ogos 2022 akibat enggan mematuhi arahan polis.

“Semua ketidakadilan ini memusnahkan keluarga saya,” katanya.

Mohamed membantah dan menyuarakan rasa kesal kerana tidak dimaklumkan mengenai perkembangan siasatan sejak pegawai polis yang melepaskan tembakan maut itu didakwa.

Perarakan itu berlaku beberapa hari selepas Inspektorat Am Polis Negara (IGPN), badan yang bertanggungjawab menyiasat salah laku polis mengeluarkan laporan tahunannya mengenai penggunaan kekerasan oleh pegawai.

Laporan itu menunjukkan sepanjang tahun lalu, 38 orang maut akibat tindakan polis termasuk 22 yang ditembak mati, dengan 13 daripada kematian itu membabitkan kes suspek enggan mematuhi arahan polis.

Pada Julai lalu, Jawatankuasa Mengenai Penghapusan Diskriminasi Kaum Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang terdiri daripada 18 pakar bebas menyatakan kebimbangan mengenai penggunaan kekerasan yang berlebihan oleh penguatkuasaan undang-undang di Perancis.

Badan dunia itu turut menggesa kerajaan untuk mengguna pakai undang-undang yang mentakrifkan dan melarang profil kaum. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya