CANBERRA: Seorang wanita disyaki membunuh ibu bapa bekas suaminya dengan menyediakan hidangan makanan tengah hari yang mengandungi cendawan beracun.
Lapor The Mirror, Erin Patterson, 48, mendakwa membeli cendawan tersebut di sebuah kedai berhampiran kediamannya.
Erin memasak hidangan itu untuk bekas mentuanya, Don dan Gail Patterson serta dua individu lain ketika mereka mengunjungi rumahnya di Leongatha, Australia pada 29 Julai lalu.
Keempat-empat mangsa dikatakan menjadi sakit tenat selepas makan hidangan yang dimasak Erin.
Don dan Gail meninggal dunia di hospital selepas mengalami ‘kesakitan kritikal’, manakala kakak Gail iaitu Heather Wilkinson juga meninggal dunia manakala suaminya, Ian masih berada dalam keadaan kritikal.
Memetik laporan 7 News, polis menggeledah rumah Erin setelah menyoal siasat wanita itu dan kemudian membebaskannya, sementara menunggu siasatan lanjut.
Ketika di soal siasat polis, Erin mendakwa dia membeli cendawan yang digunakan dalam hidangan itu dari sebuah kedai di kawasan perumahannya.
Dilaporkan, Erin tidak jatuh sakit selepas menjamu hidangan makan tengah hari itu.
Malah, tidak dapat pastikan kuantiti makanan yang diambil oleh Erin.
Polis Victoria, Detektif Inspektor Dean Thomas mengesahkan gejala yang dialami oleh mangsa adalah konsisten dengan kesan disebabkan oleh cendawan death cap.
Setakat ini, tiada amaran mahupun notis penarikan balik dikeluarkan bagi mana-mana produk yang dijual di Leongatha.