LONDON: Seorang wanita yang mempunyai alahan teruk dengan kacang tanah mengadu dia terpaksa membeli semua bungkusan snek itu ketika menaiki pesawat di London semata-mata untuk mengelakkan kru kabin menghidangkannya kepada penumpang lain.
Leah Williams yang menaiki penerbangan Eurowings dari London ke Dusseldorf di Jerman, merasa khuatir terkena kejutan anafilaksis jika penumpang yang duduk berhampirannya membuka snek berkenaan.
Wanita berusia 27 tahun itu kemudian meminta pramugari supaya tidak menghidangkan snek itu semasa penerbangan dan memaklumkan penumpang lain mengenai masalah alahannya.
Bagaimanapun Williams mendakwa kru kabin menolak permintaannya atas alasan tindakan itu bertentangan dengan polisi syarikat.
Williams terpaksa membelanjakan 144 pound (RM850) untuk membeli 48 paket kacang tanah, hampir tiga kali ganda harga tiket pesawatnya dan kini sedang berusaha mendapatkan bayaran balik daripada syarikat penerbangan tersebut.
“Eurowings sepatutnya berasa malu dengan cara mereka mengendalikan situasi ini dan bagaimana kakitangannya memandang saya seolah saya seorang yang gila,” kata Wiiliams.
kepada Insider Magazine.
Jurucakap Eurowings kemudian memohon maaf kepada William namun menegaskan wanita berkenaan tidak dipaksa membeli semua paket kacang sebaliknya kru kabin sudah menawarkan solusi lain ketika itu.
Eurowings mendakwa pihaknya juga tidak dapat menjamin pesawat itu bebas daripada bahan makanan yang boleh mencetuskan tindak balas alahan seperti kacang tanah kerana penumpang turut dibenarkan membawa makanan mereka sendiri.