TOKYO: Meskipun sudah berusia lebih separuh abad, wajah seorang wanita di Jepun kelihatan awet muda persis gadis awal 20-an.
Kecantikan Kurata Ratsuko, 61, itu juga membuatkan pemuda berusia 29 tahun yang enggan namanya didedahkan jatuh cinta dengannya.
Pasangan itu dijangka merancang untuk berkahwin pada Disember nanti.
Difahamkan, Kurata adalah penulis blog yang membuat ulasan menceritakan lokasi dikunjunginya.
Dia pernah berkahwin ketika muda dan dikurniakan seorang anak hasil perkahwinan itu, namun bercerai.
Kini, anaknya sudah berkahwin, jadi Kurata sudah mempunyai menantu dan cucu.
Anak Kurata itu kini berusia 36 tahun iaitu tujuh tahun lebih berusia daripada teman lelakinya.
Bagaimanapun, anak Kurata mahupun keluarga tidak mempersoalkan hubungannya dengan teman lelaki yang 32 tahun lebih muda itu.
Kurata kerap berkongsi gambar kemesraan dengan teman lelaki di Instagram yang mempunyai 23,000 pengikut.
Lazimnya, dia berkongsi gambar aktiviti yang mereka lakukan bersama-sama, namun tidak mendedahkan wajah atau nama penuh teman lelakinya.