KYIV: Ukraine memaklumkan pasukan tenteranya berjaya memintas puluhan peluru berpandu jelajah milik Russia dalam satu serangan semalaman.
Tentera Ukraine menerusi kenyataan memaklumkan pasukannya juga menembak jatuh 15 dron dalam serangan udara terbesar dilancarkan ke atas negara itu dalam beberapa minggu lalu.
“Sebanyak 28 peluru berpandu jelajah dan 15 dron atau pesawat tanpa pemandu (UAV) dimusnahkan dalam serangan menyasarkan Ukraine,” jelas kenyataan itu.
Menurut tentera Ukraine, pasukan tentera Russia melancarkan sebanyak projektil menyasarkan beberapa wilayah negaranya.
Terdahulu, Gabenor Pskov, Mikhail Vedernikov mendakwa tentera Russia menangkis serangan dron ke atas sebuah lapangan terbang di bandar barat laut Pskov.
Setakat ini, tiada kenyataan daripada kementerian pertahanan namun empat pesawat pengangkut mengalami kerosakan akibat serangan itu.
“Pasukan tentera sedang menangkis serangan dron di lapangan terbang Pskov,” kata Vedernikov di media sosial.
Vedernikov turut memuat naik rakaman video memaparkan kebakaran besar dengan letupan kuat dan bunyi siren kedengaran di latar belakang.
Vedernikov turut mendakwa beliau berada di lokasi kejadian.
“Berdasarkan maklumat awal, setakat ini tiada mangsa yang maut mahupun cedera dalam kejadian itu.
“Pihak kami sedang menilai tahap kerosakan di lapangan terbang itu,” katanya.
Dilaporkan, Pskov terletak kira-kira 800 meter dari sempadan Ukraine dan wilayah sekitarnya bersempadan dengan negara anggota Kesatuan Eropah (EU) Latvia dan Estonia. – AFP