Ukraine diminta serah wilayah kepada Russia untuk sertai NATO

Ukraine diminta serah wilayah kepada Russia untuk sertai NATO

STIAN JENSSEN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

OSLO: Seorang pegawai kanan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) memohon maaf selepas mengeluarkan komen secara terbuka mendakwa Ukraine perlu menyerahkan wilayahnya kepada Russia sebagai pertukaran untuk menjadi ahli perikatan berkenaan dan menamatkan perang yang tercetus.

Menurut laporan akhbar Norway, Ketua Kakitangan Setiausaha Agung NATO, Stian Jenssen mengakui tidak sepatutnya berkata demikian selepas komen tersebut mencetuskan kemarahan Kyiv.

“Kenyataan saya mengenai perkara ini adalah sebahagian daripada perbincangan yang lebih besar tentang kemungkinan senario masa depan di Ukraine, dan saya tidak sepatutnya berkata seperti itu. Ia satu kesilapan,” katanya.

Pada acara panel di Norway Selasa lalu, Jenssen berkata, walaupun sebarang perjanjian damai yang dicapai perlu diterima oleh Ukraine, ahli perikatan sedang membincangkan bagaimana perang selama 18 bulan itu boleh ditamatkan.

Jenssen tidak menolak idea bahawa perjanjian tanah untuk keanggotaan NATO boleh dibincangkan namun berusaha menekankan bahawa ahlinya kekal menyokong Ukraine.

“Jika terdapat rundingan damai yang serius maka keadaan tentera pada masa itu, termasuk siapa yang mengawal wilayah semestinya akan mempunyai pengaruh besar dalam mencapai ketetapan.

“Tepatnya atas sebab ini, adalah amat penting untuk kita menyokong Ukraine dengan apa yang mereka perlukan. Saya hanya menyiarkan idea tetapi ia mesti terpulang kepada Ukraine untuk memutuskan bila dan pada terma apa yang mereka mahu rundingkan,” jelasnya.

NATO turut mengeluarkan kenyataan bertujuan meredakan ketegangan yang dicetuskan Jenssen.

“Kami akan terus menyokong Ukraine selagi perlu, dan kami komited untuk mencapai keamanan yang adil dan berkekalan. Kedudukan pakatan itu jelas dan tidak berubah,” kata seorang jurucakap.

Ukraine secara konsisten menggesa pemulihan sempadan pra-2014 yang diiktiraf di peringkat antarabangsa dan terlibat dalam serangan balas untuk menawan semula sebahagian besar wilayahnya yang dirampas oleh Russia.

Penasihat Kanan Presiden Ukraine, Mykhailo Podolyak berkata, sebarang perjanjian tanah untuk NATO seumpama memberi ganjaran kepada pencerobohan Russia.

“Memperdagangkan wilayah untuk payung NATO? Memang mengarut.

“Ini bermakna sengaja memilih kekalahan demokrasi, menggalakkan penjenayah global, memelihara rejim Russia, memusnahkan undang-undang antarabangsa dan meneruskan perang kepada generasi lain,” tegasnya.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN