JAKARTA: Ibu kota Indonesia, Jakarta ‘mengungguli tempat pertama’ sebagai bandar paling tercemar di dunia dan kekal dalam kedudukan 10 bandar dengan pencemaran terburuk sejak Mei lalu.
Jakarta yang mempunyai populasi lebih 10 juta orang merekodkan udara tidak sihat hampir setiap hari, menurut data yang dikeluarkan oleh syarikat teknologi kualiti udara Sweden, IQAir.
Seorang penduduk, Rizky Putra memaklumkan, kualiti udara yang kotor menyebabkan kesihatan anaknya terjejas.
“Saya rasa, situasi ketika ini semakin membimbangkan kerana semakin ramai kanak-kanak jatuh sakit dengan ada dalam kalangan mereka mempunyai gejala batuk dan selsema,” katanya.
Penduduk Jakarta sudah lama membuat aduan mengenai tahap udara di bandar raya ini yang berpunca daripada kesesakan lalu lintas, asap industri dan loji kuasa yang dijana arang batu.
Malahan, ada dalam kalangan mereka melancarkan tindakan undang-undang pada 2021 bagi menuntut kerajaan mengambil langkah agresif menangani masalah pencemaran udara.
Namun, masalah itu masih tidak selesai dan situasi dilaporkan menjadi semakin teruk.
“Kita menghirup udara lebih 20,000 kali sehari dan jika kita terdedah dengan udara yang kotor, sudah pasti akan menghidap penyakit berkaitan saluran pernafasan.
“Bagi kanak-kanak, penyakit berkenaan boleh menjejaskan perkembangan minda mereka,” kara Nathan Roestandy, pengasas bersama aplikasi kualiti udara, Nafas Indonesia.
Dalam pada itu, Presiden Joko Widodo (Jokowi) memberitahu media tempatan bahawa masalah itu boleh diselesaikan apabila ibu kota Indonesia dipindahkan ke Nusantara.
Nusantara dijangka mula beroperasi sebagai ibu kota baharu Indonesia bermula tahun depan dan dijangka sekurang-kurangnya 16,000 penjawat awam termasuk tentera dan polis dijadualkan berpindah ke sana. – REUTERS