LONDON: Sebuah trak penghantaran Amazon ‘tersepit’ di celah bangunan ketika cuba melalui lorong sempit di kawasan perkampungan bersejarah di Cornwall di barat daya England baru-baru ini.
Trak seberat 33 tan itu dalam perjalanan ke St Agnes di Pantai Utara apabila tiba di persimpangan yang sukar ketika melalui kawasan jalan di perkampungan tepi laut.
Imej tular menunjukkan pemandu trak berkenaan cuba bergerak di sekitar selekoh yang sangat sempit hingga dilihat menyentuh kedua-dua bangunan di sisi bertentangan jalan.
Menurut Daily Mail, kejadian tersebut berlaku lewat petang Jumaat lalu dan pemandu berkenaan dilaporkan mengambil masa lebih 25 minit untuk ‘membebaskan’ trak itu.
“Pemandu itu tidak berundur malah terus memandu ke hadapan. Selepas kira-kira 25 minit dengan beberapa kesan kemek dan calar pada traknya, dia berjaya melepasi kawasan itu.
“Saya harap trak itu tidak merosakkan bangunan bersejarah yang diwartakan untuk pemuliharaan di kampung ini,” kata seorang penduduk.
Menurut penduduk di St Agnes, banyak kenderaan menjadi mangsa selekoh sempit itu terutamanya ketika menggunakan alat navigasi satelit.