MALIBU: Polis Amerika Syarikat (AS) menemukan mayat yang disumbat dalam tong dram di pantai Malibu, California semalam.
Laporan menyebut mayat lelaki itu disumbat ke dalam tong dram sebesar 55 gelen, yang sebelum itu ditemukan oleh pekerja penyelenggaraan.
Polis bagaimanapun tidak mendedahkan identiti mangsa atau punca kematiannya.
Penyiar ABC7 berkata tong itu pada awalnya dikesan terapung di Pantai Malibu Lagoon oleh pekerja sanitasi, Ahad lalu.
Malibu menempatkan banyak kediaman selebriti termasuk penyanyi Coldplay, Chris Martin dan pelakon siri televisyen, ‘Friends’, Courteney Cox.
Julia Roberts, Cindy Crawford, Leonardo DiCaprio dan Paris Hilton juga pernah mendiami kawasan itu.
Tindakan menyembunyikan mayat dalam tong merupakan satu daripada kaedah pelupusan yang digemari penjenayah.
Tahun lalu, air Tasik Mead yang semakin surut mendedahkan sisa rangka mangsa pembunuhan yang mayatnya disumbat ke dalam tong dram. – AFP