LONDON: Golongan wanita dikatakan lebih cenderung menginginkan anak perempuan berbanding anak lelaki.
Namun, situasi itu mungkin berbeza bagi ibu yang mempunyai bilangan anak yang ramai.
Ini berikutan satu kajian mendakwa ibu bapa yang mempunyai tiga anak sama jantina boleh mengakibatkan penurunan ketara dalam tahap kesejahteraan hidup pasangan berkenaan.
Lapor Daily Mail, sekumpulan penyelidik dari London School of Economics and Political Science menggabungkan data membabitkan dua kajian besar dijalankan di Britain, yang antara lain menganalisis peserta sejak lahir hingga dewasa.
Peserta dikaji sekurang-kurangnya sekali setiap dekad, dengan melaporkan tahap kepuasan hidup mereka dan sama ada golongan itu mempunyai anak.
Analisis mendedahkan bahawa kesejahteraan hidup ibu bapa merosot dengan ketara selepas melahirkan tiga orang anak yang sama jantina.
Situasi itu berbeza dengan pasangan yang mendapat anak ketiga berlainan jantina.
Pasukan penyelidik mendapati kesan itu berlanjutan selama sedekad dan didorong sepenuhnya oleh ibu yang melahirkan tiga anak perempuan .
Para penyelidik juga mendapati ibu bapa yang mempunyai dua anak sama jantina lebih berkemungkinan untuk cuba mendapatkan anak berlainan jantina, dan melakukannya dengan cepat berbanding pasangan yang sudah memiliki anak lelaki dan perempuan.
“Ibu bapa yang mempunyai dua anak sama jantina lebih cenderung mendapatkan anak ketiga dengan harapan memperoleh berlainan jantina.
“Data kami menunjukkan ramai ibu yang sudah mempunyai dua anak perempuan kecewa tidak dapat anak lelaki selepas itu, berbanding dengan ibu yang mempunyai tiga anak lelaki,” kata pengarang utama kajian, Profesor Paul Dolan.
Dolan melaporkan hasil penemuan itu dalam kajian bertajuk ‘All we want is a healthy baby – well, and one that is the opposite sex to what we have already’.
Laporan kajian itu disiarkan dalam Elsevier’s Journal of Behavioural and Experimental Economics.