WELLINGTON: Seorang wanita sanggup membunuh tiga anak perempuannya dengan menekup muka menggunakan selimut hanya kerana tidak tahan mereka menangis dan meragam.
Wanita berusia 42 tahun itu dilihat menangis ketika butiran mengenai detik terakhir tiga anak kecil berkenaan didedahkan secara terbuka di mahkamah.
Lapor Daily Mail, Lauren Anne Dickason didakwa membunuh Liane, 6, serta anak kembar, Maya dan Karla masing-masing berusia dua tahun di kediamannya di Timaru, South Island di New Zealand pada September 2021.
Lauren mengakui membunuh ketiga-tiga anaknya tetapi tidak mengaku bersalah atas alasan masalah mental.
Pada sesi perbicaraan, butiran insiden menyayat hati itu didedahkan di Mahkamah Tinggi Christchurch ketika ahli psikologi forensik, Ghazi Metoui memberi keterangan mengenai keadaan mental Lauren.
Metoui melukis gambar memaparkan seorang ibu tertekan untuk sekian lama dan menekankan bagaimana tantrum Karla boleh mendorong Lauren sehingga mencapai tahap sanggup membunuh semua anaknya.
Dilaporkan, keluarga itu berhijrah dari Afrika Selatan sebulan sebelum hari kejadian pembunuhan kanak-kanak tersebut.
Mahkamah dimaklumkan bahawa Metoui menemu bual Lauren sebanyak sembilan kali, yang mana keseluruhan sesi itu berlangsung selama kira-kira 20 jam.
Metoui memaklumkan Lauren sedar dia `tidak sihat’ setelah mengalami masalah kemurungan untuk tempoh lama termasuk kemurungan selepas bersalin yang teruk.
Sementara itu, Lauren memaklumkan dia membunuh ketiga-tiga anaknya selepas suaminya, Graham Dickason keluar makan malam bersama rakan sekerjanya.
Katanya, beberapa minit selepas suaminya meninggalkan rumah, Karla mula meragam dan menggigit pakaian Graham.
“Saya mengurung semua anak di dalam bilik tidur dan kemudian melilit pengikat kabel di leher dengan niat untuk mencekik mereka.
“Apabila cubaan itu tidak berjaya, saya menekup mereka dengan selimut,” katanya.