Enggan perjudi keselamatan negara, Denmark usaha sekat protes bakar al-Quran

Tidak mahu perjudi keselamatan negara, Denmark usaha sekat protes bakar al-Quran

AKTIVIS dari parti Jamaat-e-Islami (JI) Pakistan mengadakan protes anti-Sweden di Karachi bagi membantah tindakan membakar al-Quran di luar sebuah masjid di Stockholm. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

COPENHAGEN: Kerajaan akan berusaha mencari kaedah perundangan yang membolehkan pihak berkuasa menghalang perbuatan membakar al-Quran di hadapan kedutaan negara-negara lain di Denmark.

Perkara itu ditegaskan oleh Menteri Luar Denmark, Lars Lokke Rasmussen dalam satu kenyataan.

“Perbuatan membakar al-Quran amat menyinggung perasaan, ia merupakan tindakan menghina dan melulu yang dilakukan oleh segelintir individu.

“Golongan ini tidak mewakili nilai-nilai yang dibina masyarakat Denmark,” jelasnya.

Justeru, kata Rasmussen, kerajaan Denmark akan meneroka kemungkinan untuk campur tangan dalam beberapa situasi khas.

“Misalnya, budaya serta agama negara lain dihina, dan di mana ini mendatangkan kesan negatif yang ketara terhadap Denmark terutama sekali berhubung isu keselamatan,” katanya.

Denmark dan Sweden menjadi tumpuan dunia sejak beberapa minggu kebelakangan ini susulan protes anti-Islam yang mana kitab al-Quran dirosakkan atau dibakar sehingga mengundang kemarahan umat Islam.

Sementara itu, Perdana Menteri Sweden, Ulf Kristersson memaklumkan beliau ketika ini sedang berhubung rapat dengan rakan sejawatnya dari Denmark, Mette Frederiksen.

Katanya, proses yang sama sedang dijalankan di Sweden.

“Kami juga sudah mula menganalisis kaedah perundangan dengan mempertimbangkan langkah sesuai bagi mengukuhkan keselamatan negara serta rakyat Sweden di negara dan di seluruh dunia,” jelasnya dalam satu catatan di Instagram.

Bulan lalu, kumpulan aktivis sayap kanan melakukan beberapa perbuatan menghina dengan membakar al-Quran di hadapan kedutaan Iraq, Mesir dan Turkiye di Copenhagen.

Minggu lalu, dua ahli ultra-nasionalis Patriot Denmark bertindak biadap memijak kitab suci al-Quran serta membakarnya di dalam bekas terletak bersebelahan bendera Iraq.

Sweden dan Denmark menzahirkan rasa kesal dengan tindakan membakar al-Quran namun mengakui tidak dapat menghalangnya kerana ia dibawah peraturan negara yang melindungi hak kebebasan bersuara.

Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC) bulan lalu meluluskan satu resolusi mengenai kebencian dan ketaksuban agama selepas beberapa insiden kitab suci al-Quran dibakar. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya