TOKYO: Kira-kira 166,000 rumah di wilayah Okinawa dan Kagoshima di barat daya Jepun terpaksa bergelap manakala puluhan perniagaan terpaksa ditutup selepas Taufan Khanun membadai kawasan timur Asia.
JEPUN
Hujan lebat melanda barat daya Jepun dengan angin bertiup kencang untuk hari kedua berturut-turut, menyebabkan dua orang maut.
Televisyen awam NHK melaporkan, seorang wanita warga emas di Okinawa meninggal dunia apabila rumahnya terbakar ketika dia menggunakan lilin sejak bekalan elektrik terputus.
Satu lagi kematian melibatkan seorang lelaki berusia 90-an akibat dihempap garaj di kawasan kediamannya yang runtuh.
Bencana alam itu turut menyebabkan sekurang-kurangnya 62 orang di wilayah Okinawa dan Kagoshima cedera.
Kementerian Pengangkutan berkata, Lapangan Terbang Naha dan pintu masuk utama ke destinasi pelancongan popular di Okinawa beroperasi semula selepas ditutup selama dua hari namun, 304 penerbangan terpaksa dibatalkan akibat cuaca buruk.
Menurut Agensi Meteorologi Jepun, taufan itu menghala perlahan-lahan ke barat Laut China Timur pada awal petang semalam, dengan tiupan angin sehingga 234 kilometer sejam (kmj) namun diramalkan membelok secara tiba-tiba dan tajam ke timur dan mula menuju ke pulau-pulau utama Jepun.
TAIWAN
Taiwan menutup perniagaan dan sekolah manakala syarikat penerbangan membatalkan berpuluh-puluh penerbangan ketika Taufan Khanun bergerak perlahan melintasi timur laut pulau itu di tengah-tengah amaran banjir dan angin kencang.
Taufan Khanun, yang dikategorikan oleh biro cuaca Taiwan sebagai paras taufan kedua terkuat, perlahan-lahan menuju ke arah pantai timur lautnya dengan angin maksimum 198kmj.
Taufan Khanun membadai hanya seminggu selepas Taufan Doksuri membawa hujan lebat dan angin kencang ke selatan Taiwan.
Di Taipei, perkhidmatan kereta api bawah tanah dikurangkan manakala ratusan askar bersiap sedia di bandar-bandar berdekatan untuk tindak balas bencana.
CHINA
Kawasan utara China ditenggelami air banjir yang kotor sejak Rabu lalu selepas hujan paling lebat dalam sejarah yang berterusan selama beberapa berhari melanda ibu kota Beijing dan kawasan sekitarnya.
Aliran air berwarna coklat turut membawa bersama ribuan sampah sarap melalui taman di pinggir bandar Beijing, manakala jalan-jalan utama yang sibuk di wilayah Hebei di barat daya ibu kota bertukar menjadi sungai selepas ditenggelami air setinggi empat meter.
Gambar-gambar udara yang diambil di bandar Zhuozhou di Hebei menunjukkan kedai-kedai dan kereta ditenggelami air hujan berlumpur sehingga ke paras bumbung.
Di kawasan sempadan antara Beijing dan Hebei, longgokan besar sampah yang terapung berhampiran kawasan jambatan mencetus bahaya besar kepada penduduk, menyebabkan anggota polis terpaksa dikerahkan untuk mengawal keadaan.
Pekerja penyelamat turut dilihat menggunakan bot angin untuk mengangkut mi segera, roti dan air minuman kepada penduduk yang terperangkap tanpa bekalan elektrik atau isyarat telefon bimbit.
Perkhidmatan cuaca Beijing berkata pada hari Rabu, hujan yang melanda ibu kota China sejak beberapa hari lalu adalah yang paling lebat sejak data direkodkan 140 tahun lalu.-AFP/REUTERS