PARIS: Sebuah bandar kecil di barat Perancis tular di media sosial baru-baru ini kerana menandakan persimpangan dengan garis putih bersilang semata-mata untuk mengelirukan pemandu dan memaksa mereka memperlahankan kenderaan.
Pekan Baune yang terletak berhampiran Angers, menempatkan hanya sekitar 1,700 penduduk tetapi pemandu terpaksa berdepan kesesakan lalu lintas hampir setiap hari kerana lokasinya yang berhadapan dengan persimpangan antara dua jalan utama.
Namun beberapa kenderaan yang melalui pekan tersebut ketika trafik lengang dikesan memandu lebih 100 kilometer sejam (km/j) walaupun papan tanda yang dipasang jelas menunjukkan hadkan kelajuan yang dibenarkan hanya 30 km/j.
Bagi memaksa pemandu memperlahankan kenderaan, pihak berkuasa tempatan mencetuskan idea untuk menggunakan tanda jalan yang mengelirukan dalam bentuk garisan putih yang bertindih dan beralun.
Menurut Timbalan Datuk Bandar Loire-Authion, Grégoire Jauneault, strategi tersebut berjaya selepas data menunjukkan penurunan ketara dalam kelajuan pemandu.
Lapor Oddity Central, ramai warga net yang melihat gambar jalan berkenaan tertanya-tanya mengapa pihak berkuasa tempatan tidak menggunakan cara yang lebih tradisional seperti bulatan atau lampu isyarat.
Sebahagian daripada komuniti tempatan pula berpendapat strategi itu hanya berjaya untuk sementara sahaja kerana pemandu akan kembali meningkatkan kelajuan sebaik mengetahui permainan itu.