WASHINGTON: Satu kajian mendakwa suntikan ubat pelangsing badan mampu membantu menyembuhkan gejala kegagalan jantung.
Para pakar menyifatkan hasil keputusan ujian makmal itu berupaya membawa perubahan baharu dalam rawatan perubatan.
Dalam kajian global pertama seumpamanya, pasukan penyelidik Amerika Syarikat (AS) mendapati Semaglutide yang terkandung dalam Ozempic, Wegovy dan Rybelsus boleh `memberi kesan besar’ terhadap pelbagai gejala.
Lapor The Guardian, pengarang utama kajian, Dr Mikhail Kosiborod menyifatkan penemuan itu sebagai antara perkembangan paling menjanjikan dalam sektor kesihatan.
“Ia adalah penambahbaikan ketara membabitkan beberapa gejala seperti sesak nafas, keletihan, bengkak dan ketidakupayaan untuk melakukan senaman fizikal.
“Penambahbaikan seperti ini boleh memberi kesan kepada pesakit yang mengalami kegagalan jantung,” kata Mikhail.
Penemuan kajian itu didedahkan pada hari pertama mesyuarat tahunan Persatuan Kardiologi Eropah.
Dilaporkan, pasukan penyelidik menggunakan semaglutide untuk merawat pesakit yang mengalami kegagalan jantung jenis Heart Failure with Preserved Ejection Fraction (HFpEF).
Keadaan itu berlaku apabila jantung mengepam secara normal tetapi ventrikel kiri tidak dapat mengendur dan mengisi darah dengan betul semasa pengisian ventrikel.
Kajian itu membabitkan 529 pesakit dari 13 negara di Eropah, Amerika Utara, Amerika Selatan dan Asia.
Kesemua pesakit mencatatkan bacaan indeks jisim badan lebih 30 serta mempunyai gejala kegagalan jantung dan had fizikal.
Umur median kumpulan pesakit itu adalah 69 tahun manakala median berat median pula merupakan 105.1 kilogram (kg).
“Sebuah kumpulan pesakit disuntik 2.4 miligram (mg) semaglutide seminggu sekali selama setahun, manakala yang lain diberi plasebo.
“Pasukan penyelidik menilai perubahan dalam berat badan serta gejala berkaitan kegagalan jantung menggunakan skor ringkasan klinikal (CSS) Soal Selidik Kardiomiopati Bandar Kansas (KCCQ).
“Para pesakit juga diperiksa sama ada boleh berjalan dengan baik selama enam minit. Selepas 52 minggu, perubahan min dicatatkan pada KCCQ-CSS adalah 16.6 mata bagi pesakit disuntik ubat pelangsing badan berbanding 8.7 mata untuk kumpulan diberi plasebo,” jelas laporan.
Tambah laporan, berat badan kumpulan pesakit yang diberi ubat kurus juga menurun dengan min direkodkan sebanyak 13.3 peratus berbanding 2.6 peratus.