TOKYO: Bijin-Hime merupakan sejenis varieti strawberi dari Jepun yang memiliki reka bentuk dan warna yang sempurna.
Digelar sebagai ‘Puteri Cantik’, strawberi Bijin-Hime antara lain turut menawarkan rasa yang tiada tandingannya.
Lapor Oddity Central, harga Bijin-Hime mampu mencecah sehingga AS$350 (RM1,586) sebiji, sekali gus menjadikannya antara buah paling mahal di dunia.
Bijin-Hime dihasilkan oleh petani bernama Mikio Okuda yang mempunyai pengalaman lebih 45 tahun dalam penanaman strawberi.
Menurut Mikio, dia mengambil masa kira-kira 15 tahun termasuk berdepan pelbagai cubaan dan kesilapan, untuk menghasilkan strawberi Bijin-Hime yang sempurna.
Jelasnya, dia menanam strawberi Bijin-Hime di rumah hijaunya yang terletak di Okuda Farms di Hashima, wilayah Gifu.
Mikio berkata, strawberi itu ditanam ketika musim sejuk, dengan mantau secara teliti suhu tanah dan udara di rumah
hijau tersebut.
Dilaporkan, Bijin-Hime merupakan antara varieti strawberi yang paling terkenal di dunia.
Malah, buah Bijin-Hime yang terbesar dikatakan sebesar saiz bola tenis dan mempunyai berat sekitar 100 gram.
Bijin-Hime dinilai pada 13 darjah Brix, menjadikannya lebih manis berbanding buah strawberi biasa yang merekodkan 10 darjah Brix.
“Tekstur strawberi Bijin-Hime dikatakan memberi keseimbangan sempurna antara lembut dan pejal.
“Warna merah terang yang berkilat juga mampu meresap hingga ke isi buah itu.
“Selain itu, Bijin-Hime tidak mempunyai rasa keasidan tinggi yang biasanya didapati pada varieti buah biasa dijual di pasar raya,” jelas laporan itu.