LONDON: Menteri Dalam Negeri Britain, Suella Braverman memberi amaran Kor Pengawal Revolusi Iran (IRGC) merupakan ancaman terbesar terhadap keselamatan negara itu.
Amaran itu dibuat ketika Braverman menyuarakan kebimbangan dengan aktiviti IRGC yang semakin meningkat, selain laporan risikan mendakwa anggota pasukan itu cuba merekrut ahli kumpulan jenayah terancang untuk menyerang penentang yang melawan rejim .
Lapor Daily Mail, sumber rapat Braverman memaklumkan pihaknya amat bimbang dengan ancaman Iran.
“Ia adalah isu besar kerana mereka semakin agresif dan aktivitinya juga sedang meningkat.
“Pasukan itu sangat defensif terhadap mana-mana individu yang menentang rejim mereka, ini termasuk mahu menghapuskannya. Mereka hanya meningkatkan pergolakan,” katanya.
Februari lalu, Tom Tugendhat yang ketika itu merupakan Menteri Keselamatan memaklumkan Parlimen bahawa kerajaan Iran merupakan dalang di sebalik 15 insiden ancaman untuk membunuh atau menculik warga Britain atau individu yang menetap di United Kingdom (UK) dalam masa lebih setahun.
Bulan lalu, UK menolak gesaan untuk menyenaraikan IRGC sebagai kumpulan pengganas demi memperluaskan kriteria yang mana para penyokong dan syarikat boleh dikenakan sekatan.
Rejim sekatan baharu itu akan membenarkan menteri menyekat individu atas sebab aktiviti mereka di UK dan bukan hanya di Iran.
Pejabat Kementerian Luar Britain bimbang langkah pengisytiharan IRGC sebagai kumpulan pengganas boleh menjejaskan hubungan diplomatik negara itu secara kekal.
IRGC merupakan entiti keselamatan Iran yang paling berkuasa.
Ia turut menguasai sejumlah besar kepentingan dalam ekonomi Iran dan pengaruh yang kuat dalam sistem politik negara itu.