LONDON: Kisah inspirasi seorang lelaki dari West Yorkshire ditinggalkan oleh ibu bapanya gara-gara wajahnya yang cacat namun berjaya bangkit meraikan kekurangan dirinya mendapat perhatian media baru-baru ini.
Jono Lancaster, 38, dilahirkan dengan sindrom Treacher Collins yang menjejaskan antara nisbah satu dalam 50,000 orang dan menghalang tulang serta tisu di muka seseorang berkembang dengan baik.
Lancaster memberitahu Mail Online, ibu bapanya meninggalkan dirinya bersendirian di hospital hanya 36 jam selepas dilahirkan, menyebabkan dia terpaksa dihantar ke pusat jagaan perkhidmatan sosial.
Lancaster mengakui pernah cuba menghubungi ibu bapanya ketika usianya mencecah 20 tahun namun mereka menolak tawarannya untuk bertemu malah memberitahu tidak mahu berhubung lagi dengannya.
Dengan bantuan rakan-rakan dan ibu angkatnya Jean, Lancaster mampu membina kehidupan yang berjaya walaupun berdepan pelbagai kesukaran dan kini aktif sebagai pakar motivasi dengan kisahnya yang luar biasa.
Lancaster dijemput memberi ceramah kepada pelbagai lapisan masyarakat terutama remaja sekolah di banyak negara, termasuk Argentina, Chile, Mexico, Amerika, Kanada, Norway, Jerman, Ghana dan Ukraine.
Pada 2019, Lancaster melancarkan badan amalnya sendiri dipanggil Love Me Love My Face Foundation bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang sindrom Treacher Collins dan keadaan kraniofasial yang lain.
“Dahulu, apabila mencari maklumat tentang Treacher Collins di google, ia akan sentiasa muncul dengan cerita sedih dan orang kelihatan tidak gembira.
“Tetapi sekarang mereka pasti akan melihat saya menjalani hidup dengan senyuman lebar di wajah saya. Itu adalah perasaan yang luar biasa. Ia membuktikan terdapat cahaya di hujung terowong dan ia sangat mengagumkan untuk menjadi sebahagian daripadanya,” jelasnya.
Lancaster kini terlibat dalam penerbitan rancangan dokumentari Love My Face dan turut menerbitkan sebuah buku berjudul Not All Heroes Wear Capes, yang menghimpunkan kisah bagaimana dia belajar untuk menerima siapa dirinya.