'Saya dapat lihat badan orang bersepai, bau hanyir darah'

‘Saya dapat lihat badan orang bersepai, bau hanyir darah’

ANGGOTA polis memeriksa lokasi letupan bom di daerah Bajaur, wilayah Khyber-Pakhtunkhwa, Pakistan. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PESHAWAR: Melihat cebisan daging manusia bertaburan di merata tempat menjadi pengalaman ngeri yang sukar dilupakan seorang daripada saksi kejadian bom bunuh diri yang meragut puluhan nyawa dan mencederakan ratusan orang ketika perhimpunan parti politik di barat laut Pakistan kelmarin.

SITUASI MENGERIKAN

Letupan itu menyasarkan parti Jamiat Ulema-e-Islam-F (JUI-F), sebuah rakan gabungan kerajaan yang diketuai ulama terkenal dan berpengaruh, Fazlur Rehman ketika ratusan penyokong berkumpul di bawah kanopi di bandar Khar, berhampiran sempadan Afghanistan.

“Khemah itu runtuh di satu sisi, memerangkap puluhan penyokong yang ketakutan dan cuba melarikan diri.

“Keadaan bertukar huru-hara apabila cebisan daging manusia dan bahagian tubuh yang hancur bertaburan di seluruh kawasan khemah bersama mayat bergelimpangan,” kata saksi, Abdullah Khan.

Seorang penyokong parti, Sabeeh Ullah berusia 24 tahun yang patah lengannya akibat letupan itu berkata, skala kecederaan amat mengerikan.

“Saya mendapati diri saya berbaring di sebelah seorang mangsa yang kehilangan anggota badan. Keadaan sekeliling berbaur hanyir darah,” katanya.

Ketika jumlah korban terus meningkat, Menteri Kesihatan Wilayah Khyber Pakhtunkhwa, Riaz Anwar memaklumkan, lebih 54 orang disahkan terbunuh dan ratusan lagi cedera.

“Ia adalah serangan berani mati, dengan pengebom meletupkan dirinya dalam jarak yang sangat dekat dengan pentas,” katanya.

Media Pakistan melaporkan, terdapat kira-kira 400 orang di dalam khemah ketika letupan berlaku dan gambar dari lokasi letupan yang tersebar di media sosial menunjukkan cebisan anggota badan berselerak dengan sukarelawan bertungkus-lumus membantu mangsa yang berlumuran darah.

SERANGAN PILIHAN RAYA

Parlimen Pakistan dilaporkan akan dibubarkan dalam tempoh beberapa minggu lagi menjelang pilihan raya yang dijangka bakal dilaksanakan pada Oktober atau November ini dengan parti politik sudah bersiap sedia untuk berkempen.

Namun persiapan itu dicemari insiden letupan yang kebetulan berlaku ketika Pakistan menerima lawatan delegasi kanan pegawai China, termasuk Timbalan Perdana Menteri, He Lifeng yang tiba di ibu negara petang kelmarin.

Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif mengutuk letupan itu dan mengucapkan takziah kepada mangsa selain berikrar untuk menghukum mereka yang bertanggungjawab.

Kumpulan militan Daesh dalam pada itu mengakui melancarkan serangan tersebut.

Walaupun berkeupayaan menggerakkan puluhan ribu pelajar madrasah, JUI-F tidak pernah mengumpulkan sokongan yang mencukupi untuk memegang kuasa, tetapi sering menjadi antara pemain utama dalam mana-mana gabungan.

Pakistan turut menyaksikan peningkatan mendadak dalam serangan militan sejak Taliban kembali berkuasa di negara jiran, Afghanistan pada 2021.

Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan dan Kajian Keselamatan, Imtiaz Gul berkata, serangan kelmrin lebih berkemungkinan mempunyai kaitan dengan pilihan raya dan bukannya bermotifkan mazhab.

“Ini adalah sebahagian daripada keganasan yang nampaknya semakin meningkat di Pakistan menjelang pilihan raya untuk mewujudkan rasa tidak stabil yang akhirnya boleh menyebabkan kelewatan dalam pilihan raya,” katanya.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya