Saintis China cipta senjata laser paling canggih, sukar dikesan musuh

Saintis China cipta senjata laser paling canggih, sukar dikesan musuh

KAPAL USS Portland menjalankan demonstrasi sistem senjata laser berkuasa tinggi di Teluk Aden. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIJING: Sekumpulan saintis tentera di China mencipta kejayaan besar dalam bidang teknologi senjata laser.

Pasukan saintis itu mendakwa berjaya membangunkan sistem penyejukan baharu yang membolehkan laser berkuasa tinggi beroperasi `tanpa had’ dan tanpa sebarang kesan akibat terlalu panas.

Menurut saintis dari Universiti Teknologi Pertahanan di Changsa, wilayah Hunan, sistem penyejukan baharu itu menghapuskan sepenuhnya haba berbahaya yang terhasil semasa laser berkuasa tinggi beroperasi.

Isu itu dikatakan menjadi cabaran teknikal utama dalam pembangunan senjata laser.

Dengan pembangunan teknologi baharu itu, senjata kini boleh menghasilkan pancaran laser selama mana yang diingini tanpa sebarang gangguan dalam prestasi.

“Ini merupakan satu kejayaan besar dalam meningkatkan prestasi sistem laser berkuasa tinggi.

“Pancaran berkualiti tinggi dapat dihasilkan bukan sahaja pada saat yang pertama, malah ia juga boleh dikekalkan tanpa had,” kata pasukan saintis yang diketuai oleh pakar senjata laser, Yuan Shengfu.

GUNA KOMPONEN CANGGIH

Penemuan itu dilaporkan dalam kertas kerja yang diterbitkan dalam jurnal Acta Optica Sinica pada 4 Ogos lalu.

Sistem penyejukan itu menggunakan komponen canggih dan mengoptimumkan aliran gas untuk mengeluarkan haba terhasil dalam senjata laser, sambil meminimumkan pergerakan tidak stabil dan getaran selain meningkatkan tahap kejelasan.

Menurut para saintis, sistem itu berpotensi mengubah corak pertempuran dengan ketara dengan memanjangkan masa penglibatan, meningkatkan jarak dan kerosakan serta mengurangkan logistik dan kos.

“Sejak laser delima pertama dicipta pada 1960, orang ramai begitu semangat untuk beralih daripada tenaga kinetik kepada tenaga laser untuk perkembangan tenaga pantas pada kelajuan cahaya, dengan mengharapkan pancaran laser menjadi sinar yang boleh membunuh sasaran dengan serta-merta.

“Malangnya, 60 tahun sudah berlalu dan pelbagai jenis laser dibangunkan, namun penggunaan sistem laser berkuasa tinggi masih tidak berjaya,” kata Yuan.

Terdapat beberapa projek terkenal di Amerika Syarikat (AS) antaranya Navy Advanced Chemical Laser (NACL) yang menggunakan deuterium florida sebagai sumber laser dan Middle Infrared Advanced Chemical Laser (MIRACL) menggunakan laser kimia inframerah.

Selain itu, Tactical High Energy Laser (THEL) dan Space-Based Laser (SBL) menggunakan hidrogen florida sebagai sumber laser dan Airborne Laser (ABL) menggunakan laser iodin oksigen kimia.

Jelas Yuan, semua ini sudah menjalankan demonstrasi dalam ujian lapangan, dengan MIRACL berjaya menembak jatuh peluru berpandu supersonik sementara THEL memusnahkan 48 sasaran di udara dan ABL memintas peluru berpandu bahan api.

Sementara itu, pasukan saintis diketuai Yuan turut membangunkan sistem laluan pancaran dalaman.

Sistem yang meniupkan gas menerusi senjata tersebut untuk mengeluarkan haba yang tidak diperlukan dan bagi memastikan cermin senjata berada dalam keadaan jelas.

Ia direka khas untuk menjadi kompak dan cekap, dengan memberi tumpuan pada pengoptimumkan aliran gas dan meminimumkan saiz dan berat.

Ia juga mempunyai beberapa komponen utama termasuk sumber udara, penukar haba, sistem kawalan aliran gas dan sistem sedutan.

Kumpulan saintis itu menguji teknologi berkenaan bagi memastikan ia memenuhi spesifikasi prestasi yang diperlukan oleh tentera.

Dilaporkan, peranti itu pernah digunakan dalam beberapa senjata laser yang dalam fasa pembangunan.

“Setakat ini, banyak reka bentuk canggih dan kemajuan penyelidikan dalam pengurusan haba tiupan udara dinamik di China masih belum dilaporkan.

“Ini adalah kali pertama beberapa reka bentuk dan keputusan ujian didedahkan kepada umum,” katanya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya