MOSCOW: Russia memaklumkan pasukan penyiasatnya sudah menemukan 10 mayat dan kotak perakam suara kokpit (CVR) dari lokasi nahas pesawat yang dipercayai menyebabkan ketua kumpulan Wagner, Yevgeny Prigozhin terkorban.
Lapor BBC, menurut pegawai penyiasat, ketika ini, ujian molekul genetik sedang dijalankan.
Prigozhin dilaporkan berada di dalam pesawat yang terhempas berhampiran Moscow.
Nahas itu mencetuskan spekulasi kononnya pesawat itu ditembak jatuh oleh satu atau lebih peluru berpandu darat ke udara.
Sebelum ini, jurucakap Presiden Russia, Vladimir Putin menafikan dakwaan kononnya Kremlin memberi arahan untuk membunuh ketua kumpulan tentera upahan itu.
Malah, jurucakap berkenaan menyifatkan dakwaan itu sebagai pembohongan.
Kira-kira dua bulan lalu, Prigozhin mengetuai pemberontakan bersenjata menentang kepimpinan tentera negara itu.
Agensi penerbangan awam Russia, Rosaviatsia mendedahkan nama kesemua 10 penumpang yang berada di dalam pesawat terhempas itu.
Prigozhin dan komandan kanannya, Dmitry Utkin bersama lima lagi penumpang serta tiga anak kapal dilaporkan berada dalam jet Embraer Legacy 600 yang terhempas.
Kementerian Situasi Kecemasan Russia memaklumkan pesawat itu yang dalam perjalanan dari Moscow ke St Petersburg terhempas berhampiran kampung Kuzhenkino di wilayah Tver.
Semalam, Presiden Belarus, Alexander Lukashenko memaklumkan lebih 10,000 anggota Wagner akan terus ditempatkan di negara itu.
Bagaimanapun, kebanyakan pakar percaya Lukashenko menerima arahan dari Kremlin untuk berbuat demikian.