MEKAH: Ribut yang membawa angin kuat dan hujan lebat melanda Mekah, Arab Saudi pada Selasa dan awal pagi kelmarin sehingga mencetuskan panik dalam kalangan jemaah umrah dan penduduk di kota suci itu.
Beberapa video tular di media sosial menunjukkan jemaah berpusu-pusu mencari tempat perlindungan manakala beberapa kakitangan di Masjidil haram terjatuh ditiup angin yang turut menerbangkan tong sampah.
Dalam video lain, sebuah papan iklan besar dilihat terjatuh akibat angin kencang dan kereta yang lalu-lalang terbabas tepi jalan.
Rakaman turut menunjukkan jalan raya dinaiki air dan kereta hampir ditenggelami banjir.
Menurut seorang penduduk Mekah, Abu Mayyada, suasana menjadi gelap gelita sehingga dia hampir terbabas apabila ribut dan petir melanda.
“Saya keluar untuk membeli rokok dan ketika memandu, suasana menjadi gelap gelita tiba-tiba dan angin kencang melanda.
“Saya hampir terbabas ekoran hilang kawalan, namun bersyukur semuanya selamat. Saya tidak pernah melihat ribut dan hujan seperti ini,” katanya.
Sehubungan itu, Jabatan Meteorologi Kebangsaan (NCM) telah mengeluarkan amaran cuaca merah di wilayah itu dan di beberapa kawasan selama dua hari bermula Selasa sehingga kelmarin.
Jabatan itu turut meramalkan fenomena sama akan berlaku di beberapa wilayah lain di barat Arab Saudi.
Dalam pada itu, seorang lelaki dilaporkan maut ketika meredah banjir di Mekah.
Mohammed al-Twaim, seorang guru di sebuah sekolah rendah maut apabila keretanya dihanyutkan banjir.
Selain itu, sekolah di Mekah terus ditutup dengan sesi pembelajaran akan dibuat secara dalam talian.