LONDON: Data yang direkodkan sepanjang tahun lalu menunjukkan hampir satu pertiga daripada bayi di England dan Wales dilahirkan oleh golongan wanita yang bukan berasal dari UK.
Pejabat Statistik Kebangsaan (ONS) mendedahkan, bilangan bayi hidup daripada ibu yang bukan kelahiran UK meningkat kepada 183,309 pada 2022 berbanding rekod 179,726 pada 2021.
Tahun lepas turut menyaksikan perkadaran tertinggi kelahiran hidup melibatkan golongan ibu warga asing atau bukan kelahiran UK di dua negara berkenaan sejak rekod ONS bermula pada 2003.
Bilangan bayi hidup bagi wanita kelahiran UK di England dan Wales pula dilaporkan turun kepada 422,109 tahun lalu berbanding 445,055 yang dicatatkan tahun sebelumnya.
India menggantikan Romania sebagai negara kelahiran paling biasa bagi ibu bukan berasal dari UK di dua lokasi berkenaan pada 2022.
India juga turut mengambil alih tempat pertama dari Pakistan sebagai negara kelahiran paling biasa bagi bapa yang bukan berasal dari UK sepanjang tahun lalu.
Afghanistan pula muncul dalam 10 tempat teratas buat kali pertama berikutan peningkatan ketibaan warganya ke UK melalui skim penempatan semula yang ditubuhkan semasa Taliban mengambil alih negara itu pada 2021.
Dalam pada itu, lebih dua pertiga atau kira-kira 66.5 peratus daripada kelahiran hidup di London tahun lalu melibatkan ibu bapa yang salah seorang atau kedua-duanya bukan berasal dari UK.-AGENSI