NIAMEY: Rampasan kuasa yang menggegarkan Niger hampir dua minggu lalu mencetuskan bantahan antarabangsa dan menyekat kebebasan domestik.
Namun ia berbeza bagi kebanyakan penduduk negara itu yang dilihat menyambut baik rampasan kuasa yang tercetus 26 Julai lalu.
Kira-kira 30,000 orang hadir pada perhimpunan di stadium Niamey bagi menyatakan sokongan kepada junta tentera yang menggulingkan Presiden Niger, Mohamed Bazoum.
PENDUDUK BEBAS
Bagi pengkritik tempatan dan antarabangsa, acara itu sengaja direka untuk menyokong junta tentera selepas kumpulan Kesatuan Afrika dan Komuniti Ekonomi Negara-negara Afrika Barat (ECOWAS) mengenakan lebih banyak sekatan bagi mengembalikan semula kuasa Bazoum.
Tetapi di dalam stadium berkenaan dan di jalan-jalan sekitar Niamey, terdapat ramai penduduk yang kelihatan benar-benar lega melihat 12 tahun pemerintahan oleh Parti Niger untuk Demokrasi dan Sosialisme (PNDS) pimpinan Bazoum berakhir.
“Ia adalah pembebasan. Melihatkan keadaan negara ini sejak beberapa dekad lalu, kami kini berasa bebas,” kata petugas pentadbiran agensi swasta, Alhassane Adamou.
Niamey lama dikenali sebagai kubu kuat pembangkang dan ramai yang berdiam diri selepas rampasan kuasa dibuat.
Pemimpin rampasan kuasa, Jeneral Abdourahamane Tiani, mengumumkan penggantungan perlembagaan, mengharamkan demonstrasi dan dilaporkan menahan beberapa menteri kabinet Bazoum, walaupun tiada tangkapan besar-besaran dibuat.
Ramai penduduk yang ditemu ramah wartawan antarabangsa mendakwa, demokrasi di bawah pemerintahan PNDS tidak dilaksanakan dengan baik.
“Saya menyokong tentera 100 peratus. Di bawah rejim lama, mereka bercakap tentang demokrasi tetapi ia hanya kata-kata. Kami tidak menerima demokrasi tetapi diktator,” kata seorang peniaga, Samaila Abdourahim.
ISU DEMOKRASI
Bazoum mendapat perhatian di luar negara selepas pemilihannya pada tahun 2021 yang membawa kepada peralihan kuasa aman pertama Niger sejak memperoleh kemerdekaan daripada Perancis pada 1960.
Tetapi berbeza di Niamey, ramai meluahkan rasa tidak puas hati terhadap Bazoum selepas pemimpin pembangkang, Hama Amadou dihukum penjara selama setahun atas tuduhan pemerdagangan kanak-kanak, menyebabkan dia tidak layak bertanding dalam pilihan raya berkenaan.
Rusuhan dilaporkan berlaku di ibu negara selepas kemenangan Bazoum, menyebabkan dua maut dan 468 ditahan.
Dalam Indeks Demokrasi 2022, Unit Perisikan Ekonomi meletakkan Niger dalam kalangan negara yang mempunyai ‘rejim autoritarian’.
Profesor Universiti Georgetown Washington, Ken Opalo berkata, rampasan kuasa di Niger berkait rapat dengan pengambilalihan tentera di negara jiran Mali pada 2020 dan Burkina Faso pada 2022.
“Sekutu asing mengutamakan usaha menghalang aliran pendatang, mengakses sumber semula jadi, memerangi militan di Sahel supaya mereka tidak berdepan ancaman kumpulan itu di bandar-bandar Barat selain mengekalkan pengaruh geopolitik di seluruh rantau ini.
“Demokrasi dan pembangunan ekonomi di Niger dilihat berada di bawah berbanding objektif besar ini.
“Bazoum melancarkan usaha ikhlas untuk memperbaharui institusi dan tadbir urus. Tetapi keupayaannya untuk mengubah amalan sebenar negeri dan wakilnya terbatas oleh keperluan untuk mengimbangi kuasa politik yang mengangkatnya sebagai pemimpin,” katanya.-AFP