KUZHENKINO: Presiden Russia, Vladimir Putin membuka mulut mengenai nahas pesawat di wilayah Tver yang mengorbankan 10 nyawa termasuk ketua kumpulan tentera upahan Wagner, Yevgeny Prigozhin dan pegawai kanannya kelmarin.
Dalam komen yang disiarkan di televisyen, Putin menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga semua mangsa dan menyifatkan nahas itu sebagai tragedi.
Putin dalam komen umum pertamanya mengenai nahas pesawat tersebut menyifatkan pemimpin Wagner itu sebagai ahli perniagaan yang berbakat tetapi melakukan kesilapan serius dalam hidupnya.
“Pertama sekali, saya ingin mengucapkan takziah kepada keluarga semua mangsa, ini adalah satu tragedi.
“Sememangnya, jika benar mereka berada di sana, maklumat awal menunjukkan bahawa kakitangan kumpulan Wagner juga berada di atas kapal.
“Saya mengenali Prigozhin sudah lama, sejak awal 90-an. Beliau seorang lelaki yang mempunyai nasib yang sukar dan melakukan kesilapan serius dalam hidupnya, tetapi beliau mencapai keputusan yang betul untuk dirinya,” kata Putin.
Dalam ucapannya, Putin turut memberi penghormatan kepada Prigozhin serta kumpulan yang diketuainya.
Malah beliau mengakui anggota Wagner yang terkorban dalam nahas tersebut sudah membuat sumbangan besar dalam serangan Russia ke atas Ukraine.
“Mereka mempunyai matlamat yang sama. Kami ingat, kami sedar tentang perkara itu dan kami tidak akan melupakannya,” katanya.
Nahas tersebut berlaku dua bulan selepas Prigozhin dan kumpulan Wagner melancarkan pemberontakan dan mencetus cabaran terbesar kepada pemerintahan Putin.
Meskipun Moskow mengumumkan sudah membuka siasatan terhadap pelanggaran peraturan ruang udara, para penyiasat dilihat masih mengunci mulut, menyebabkan spekulasi tentang rancangan pembunuhan terhadap kumpulan itu mula tersebar.
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy menegaskan Kyiv tidak terbabit dalam insiden itu tetapi memberi bayangan tentang individu yang bertanggungjawab seolah merujuk kepada Putin.
Beberapa pemimpin Barat termasuk Amerika Syarikat (AS), Jerman dan Perancis menyatakan keraguan bahawa nahas itu adalah satu kemalangan.
“Amat mencurigakan apabila bekas orang kepercayaan Putin yang memalukannya tiba-tiba maut akibat jatuh dari langit dua bulan selepas cuba memberontak,” kata Menteri Luar Jerman, Annalena Baerbock.-AFP