MOSCOW: Sekurang-kurangnya 30 orang terbunuh dan 102 cedera akibat letupan dan kebakaran di sebuah stesen minyak di republik Dagestan di wilayah Caucasus, Russia.
Menurut Kementerian Isu Kecemasan, insiden itu berlaku di Makhachkala yang terletak di Laut Caspian dan merupakan ibu negeri Dagestan.
Insiden itu menyaksikan sebuah pesawat dikerahkan ke Makhachkala bagi memindahkan mangsa yang mengalami kecederaan parah ke Moscow.
Media tempatan melaporkan, letupan itu berlaku kira-kira pukul 9.40 malam waktu tempatan dan punca masih belum dikenal pasti.
Seorang saksi menceritakan, kebakaran bermula di tempat letak kereta sebelum merebak ke stesen minyak.
“Selepas letupan berlaku, banyak serpihan bangunan menimpa kami, bahkan ada yang jatuh atas kepala.
“Pandangan sangat kabur akibat asap tebal, kami tidak dapat melihat dengan jelas,” menurut seorang saksi yang enggan mendedahkan namanya.
Dalam pada itu, satu video yang disiarkan menerusi Telegram oleh agensi berita Ria Novosti menunjukkan api menjulang tinggi dari sebuah bangunan disusuli letupan kuat.
Pihak berkuasa Russia menyatakan, api merebak ke kawasan seluas 600 meter persegi dan seramai 260 anggota bomba dikerah ke lokasi kejadian bagi memadam kebakaran. – AFP