LONDON: Sekurang-kurangnya 57 orang jatuh sakit dan mengalami cirit-birit akibat berenang di laut semasa acara Kejohanan Triathlon Dunia berlangsung di Sunderland, England.
Lapor Daily Mail, perkara itu itu disahkan oleh ketua agensi kesihatan United Kingdom (UK).
Kira-kira 2,000 orang mengambil bahagian dalam acara kejohanan utama pada minggu lalu, yang menyaksikan para atlet berenang di laut di Pantai Roker.
Sebelum ini, Pantai Roker pernah menerima anugerah berprestij Bendera Biru bagi kebersihannya termasuk tahap kualiti air laut yang tinggi, kira-kira dua tahun lalu.
Bagaimanapun, satu ujian dijalankan oleh Agensi Alam Sekitar United Kingdom (UK) tiga hari sebelum acara itu, mendedahkan terdapat 3,900 koloni bakteria E.Coli dalam setiap 100 mililiter (ml) air laut di pantai tersebut.
Jumlah itu dikatakan hampir 40 kali ganda lebih tinggi berbanding bacaan biasa direkodkan sejak Jun lalu.
Bakteria E.Coli boleh menyebabkan sakit perut teruk dan cirit-birit yang boleh menyebabkan dehidrasi serius sehingga mengancam nyawa.
Menurut laporan The Guardian, British Triathlon yang mengendalikan acara triathlon rasmi di UK, mendakwa keputusan ujian itu hanya diterbitkan selepas acara tersebut sudah berlangsung.
Malah, agensi itu mendakwa ujian terbabit dijalankan di luar kawasan acara berenang di laut itu berlangsung.
Jelas agensi itu, ujian yang dijalankan oleh pihaknya menunjukkan kawasan perairan tersebut melepasi piawaian yang diperlukan untuk acara triathlon.
Insiden itu berlaku ketika beberapa pantai di Britain dikesan tercemar akibat kumbahan mentah dilepaskan ke perairan yang digunakan oleh orang ramai untuk berenang hampir setiap hari.