LONDON: Perkhidmatan kesihatan negara yang dikendalikan kerajaan Britain akan menjadi pertama di dunia menawarkan suntikan rawatan penyakit kanser kepada ratusan pesakit di England.
Langkah itu sekali gus mampu mengurangkan tempoh rawatan sehingga tiga perempat.
Pesakit di England bakal mendapat manfaat daripada suntikan rawatan kanser yang mengambil masa selama tujuh minit.
Ketika ini, rawatan itu sudah mendapat kelulusan daripada Agensi Pengawalseliaan Produk Ubat dan Penjagaan Kesihatan (MHRA).
Menurut Perkhidmatan Kesihatan Negara (NHS) England, ratusan pesakit yang layak dirawat dengan imunoterapi, atezolizumab dijangka akan mendapat suntikan tersebut yang akan menjimatkan masa pasukan perubatan.
“Kelulusan ini bukan sahaja membolehkan kami memberikan penjagaan yang mudah dan pantas untuk pesakit kami, malah membantu merawat lebih ramai pesakit sepanjang hari,” kata pakar onkologi West Suffolk NHS Foundation Trust, Dr Alexander Martin.
Jelas NHS England, atezolizumab yang juga dikenali sebagai Tecentriq, biasanya diberikan kepada pesakit secara intravena, terus ke dalam urat melalui titisan yang mengambil masa kira-kira 30 minit atau sejam bagi sesetengah pesakit apabila sukar untuk mendapatkan urat.
“Ia mengambil masa kira-kira tujuh minit berbanding 30 minit hingga sejam untuk kaedah infusi intravena yang biasa,” kata Pengarah Perubatan Roche Products Limited, Marius Scholtz.
Atezolizumab merupakan ubat imunoterapi yang memperkasakan sistem imun pesakit untuk mencari dan memusnahkan sel kanser.
Rawatan itu kini ditawarkan melalui transfusi kepada pesakit yang menghidap pelbagai penyakit kanser termasuk paru-paru, payudara dan hati.
Sementara itu, NHS England memaklumkan pihaknya menjangkakan kira-kira 3,600 pesakit akan memulakan rawatan atezolizumab setiap tahun di England beralih kepada suntikan yang menjimatkan masa.
Namun, jelas agensi itu, pesakit yang menerima kemoterapi intravena dalam kombinasi dengan atezolizumab mungkin kekal pada transfusi. – REUTERS