PARIS: Pihak berkuasa Perancis akan menguatkuasakan larangan pemakaian abaya atau jubah dalam kalangan pelajar perempuan Islam di semua sekolah, mendakwa pakaian terbabit melanggar undang-undang negara berkenaan.
Menteri Pendidikan Perancis, Gabriel Attal, dalam siaran televisyen tempatan memaklumkan tiada lagi pemakaian jubah di sekolah.
Beliau berkata, pihaknya akan memberikan peraturan yang jelas mengenai larangan tersebut kepada pengetua sebelum sesi persekolahan bermula di seluruh negara 4 September ini.
Tindakan berkenaan dilakukan selepas perdebatan panjang mengenai pemakaian jubah di sekolah Perancis, di mana wanita sudah lama dilarang memakai hijab.
Katanya, terdapat laporan semakin ramai pelajar memakai jubah ke sekolah dan ia didakwa mencetuskan ketegangan antara guru dan ibu bapa.
Malah, beliau menggambarkan jubah sebagai simbol keagamaan yang bertujuan untuk menguji penentangan Perancis terhadap tempat perlindungan sekular yang mesti diwujudkan oleh sekolah.
“Apabila anda memasuki bilik darjah, anda seharusnya tidak dapat mengenal pasti agama seseorang pelajar itu hanya dengan melihat penampilan mereka,” katanya.
Undang-undang di Perancis pada Mac 2004 melarang pemakaian tanda atau pakaian yang menunjukkan pertalian agama di sekolah.
Larangan itu turut merangkumi penggunaan salib besar, kippa Yahudi dan pemakaian tudung oleh umat Islam.
Perdebatan mengenai isu berkenaan semakin memuncak sejak berlakunya kes membabitkan seorang pelarian Chechnya yang memenggal kepala gurunya kerana menunjukkan kepada pelajar karikatur Nabi Muhammad SAW berhampiran sekolahnya di pinggir bandar Paris pada 2020.
Sebuah badan kebangsaan merangkumi pelbagai persatuan Islam, CFCM berkata, pakaian saja tidak menjadi simbol keagamaan.
Pengumuman melibatkan larangan abaya merupakan langkah besar pertama Attal, 34, selepas diberi tanggungjawab memegang portfolio pendidikan yang mencabar musim panas ini. – AFP