LONDON: Seorang pemilik ladang di Britain menggesa orang ramai supaya berhenti berbogel semata-mata untuk mengambil gambar di ladang bunga mataharinya.
Pemilik Stoke Fruit Farm di Pulau Hayling di Hampshire membuat gesaan berkenaan di laman media sosial.
Adik beradik Sam Wilson dan Nette Petley yang mengendalikan ladang itu memaklumkan mereka meletakkan papan tanda meminta para pengunjung tidak berbogel ketika berada di kawasannya.
Katanya, mereka terpaksa berbuat demikian selepas enam kejadian seumpama berlaku di ladang bunga matahari sejak dibuka kepada orang ramai pada bulan lalu.
“Peringatan kepada semua, kawasan ini merupakan ladang keluarga kami, justeru kami memohon anda menghormatinya dan memakai baju ketika merakam gambar.
“Kami dapati banyak kejadian sesi gambar berbogel berlaku di ladang ini. Perbuatan itu amat tidak sesuai,” jelasnya.
Wilson dan Petley berkata, mereka tidak berniat mengganggu hal peribadi mana-mana pihak, namun berbogel ketika sesi gambar di ladangnya kini sudah menjadi masalah besar.
“Kami sering berdepan isu pengunjung mengambil gambar bogel, atas sebab itu kami terpaksa memasang papan tanda,” katanya.
Tambah Wilson dan Petley, tingkah laku demikian tidak sesuai kerana ladang milik mereka juga dikunjungi oleh ramai keluarga yang mempunyai anak. – AGENSI