TAIPEI: Hartawan dan pengasas syarikat gergasi elektronik Foxconn, Terry Gou dilaporkan akan bertanding merebut jawatan presiden Taiwan pada pilihan raya 2024.
Gou yang merupakan ahli perniagaan berjaya dan berkarisma selain pernah menempa nama dalam dunia perniagaan, dikatakan akan bertanding sebagai calon bebas.
Lapor BBC, para penganalisis politik di Taipei berpandangan Gou mempunyai peluang cerah untuk menang sekiranya beliau merupakan satu-satunya calon yang menentang Parti Progresif Demokratik (DPP).
Bagaimanapun, hartawan berusia 72 tahun itu bukannya calon tunggal yang bertanding menentang parti pemerintah berkenaan.
Sebaliknya, pencalonan Gou akan memecahkan undi pembangkang kepada tiga dalam pilihan raya presiden yang akan diadakan pada Januari depan.
“Dalam sistem ini, apabila sudah ada dua calon pembangkang yang bersaing untuk menggulingkan parti penyandangnya, dan ditambah dengan seorang lagi calon, sudah tentu ia tidak menjadi perkara mudah.
“Contoh klasik sekiranya anda berada dalam lubang dan sukar untuk keluar, perkara pertama perlu dilakukan adalah berhenti menggali. Parti pembangkang Taiwan nampaknya sedang menggali `kubur’ sendiri.
“Ini sebenarnya berlaku apabila Gou mengumumkan pencalonannya yang mempunyai implikasi mendalam di luar Taiwan,” jelas laporan itu.
Wilayah separa autonomi itu akan mengadakan pilihan raya presiden di tengah-tengah ancaman semakin meningkat dari Beijing.
Pada April lalu, Gou mengumumkan akan memohon pencalonan atas platform parti pembangkang Kuomintang (KMT), namun parti itu kemudian mencalonkan Datuk Bandar Taipei, Hou Yu-ih sebagai calon.
Gou membuat pengumuman bertanding sebagai calon Bebas beberapa minggu lalu selepas beliau mencadangkan pembentukan gabungan parti pembangkang untuk meningkatkan peluang mengalahkan DPP.
April lalu, DPP secara rasmi mencalonkan Naib Presiden Taiwan, Lai Ching-te yang turut merupakan pengerusi parti sebagai calon pilihan raya presiden 2024.
Penyandang pemimpin Taiwan, Tsai Ing-wen, tidak layak untuk bertanding semula kerana beliau sudah berkhidmat dua penggal berturut-turut. – AGENSI