LONDON: Pengampunan separa oleh tentera junta Myanmar terhadap bekas pemimpin yang dipenjarakan, Aung San Suu Kyi tidak mempunyai sebarang makna.
Demikian tegas anak bongsu Suu Kyi disertai desakan terhadap kerajaan barat untuk melakukan lebih usaha bagi meningkatkan tekanan terhadap junta.
Pengampunan ke atas lima daripada 19 kesalahan yang disabitkan itu bermakna enam tahun akan ditolak daripada keseluruhan hukuman penjara 33 tahun Suu Kyi.
Bagaimanapun, anaknya, Kim Aris yang merupakan warga Britain, menyamakan langkah itu sebagai langkah propaganda.
Ia sebagai langkah bagi memperlihatkan dan memperbaiki imej junta tentera Myanmar.
Myanmar bergolak sejak awal 2021, apabila tentera menggulingkan kerajaan yang dipilih dan bertindak keras terhadap penentang pemerintahan tentera, dengan beribu-ribu dipenjarakan atau dibunuh.
Suu Kyi telah memenangi pilihan raya 2015, yang diadakan sebagai sebahagian daripada langkah reformasi ketenteraan dan partinya menang sekali lagi pada 2020 sebelum tentera mendakwa wujud penipuan pilihan raya.
Pemenang Nobel berusia 78 tahun itu menafikan semua pertuduhan yang disabitkan termasuk hasutan, penipuan pilihan raya dan rasuah.