BRASILIA: Sebuah syarikat pengembaraan di Brazil menawarkan peluang unik kepada orang ramai yang mencari kelainan untuk menikmati aktiviti berkelah di kawasan air terjun dengan meja tergantung pada ketinggian hampir 89.91 meter di ruang udara.
Lapor Oddity Central, lokasi air terjun itu adalah di Cascata da Sepultura yang terletak di Rio Grande do Sul.
Lokasi itu menjadi tular baru-baru ini selepas pasangan dari Amerika Syarikat (AS) memuat naik klip pendek memaparkan sedang berkelah di kawasan air terjun ketika melancong ke Brazil.
Dalam video itu, Christianna Hurt bersama teman lelakinya dilihat secara santai menikmati hidangan makanan di meja dan kerusi yang tergantung pada dawai logam atau kabel zipline di atas Cascata da Sepultura.
Dilaporkan, keseluruhan aktiviti berkelah itu hanya mengambil masa selama 15 minit dan berharga AS$450 (RM2,087).
“Sudah tentu, ia merupakan pengalaman yang tidak dapat dilupakan,” kata Christianna.
Menurut Christianna, dia dan pasangannya terpaksa memandu kenderaan pacuan empat roda untuk sampai ke destinasi air terjun itu.
“Kami terpaksa memandu kira-kira sejam dari bandar Caxias do Sul sebelum berjalan melalui sungai untuk sampai ke tapak zipline yang dibina di kawasan air terjun itu,” katanya.
Dalam video tersebut, kedua-dua pasangan itu sedang memakai tali pinggang keselamatan ketika berkelah dengan duduk di kerusi dan meja yang tergantung pada kabel zipline di kawasan air terjun itu.
Video itu menerima pelbagai reaksi daripada warganet dengan rata-rata mengakui terlalu sibuk untuk menikmati aktiviti berkelah yang begitu tinggi di atas Cascata da Sepultura.