Parlimen Pakistan dibubar, PRU mungkin diadakan tahun depan - Utusan Malaysia

Parlimen Pakistan dibubar, PRU mungkin diadakan tahun depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISLAMABAD: Presiden Pakistan mengarahkan Parlimen dibubarkan semalam bagi membolehkan pembentukan kerajaan sementara untuk menjalankan pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Suasana tegang dijangka susulan bekas Perdana Menteri Pakistan, yang juga ahli politik paling popular negara itu, Imran Khan, hilang kelayakan bertanding kerana kini menjalani hukuman penjara.

Pakistan bergolak sejak bekas bintang kriket antarabangsa itu disingkirkan daripada kuasa pada April tahun lalu, dengan kemuncaknya beliau dipenjarakan hujung minggu lalu atas dakwaan rasuah berikutan tindakan keras selama berbulan-bulan terhadap partinya.

Kenyataan daripada pejabat Presiden, Arif Alvi, memaklumkan beliau membubarkan Parlimen atas nasihat Perdana Menteri, Shehbaz Sharif, yang sebelum ini memberi amaran, ‘Pakistan tidak boleh maju sehingga negara mempunyai perpaduan nasional’.

Perdana Menteri sementara baharu mesti diumumkan dalam tempoh tiga hari selepas Parlimen dibubarkan dan PRU diadakan dalam tempoh 90 hari.

Namun, kerajaan dijangka mungkin menangguhkan PRU sehingga tahun depan atas alasan negara itu belum cukup tenteram sepenuhnya untuk mengadakan pengundian.

Ekonomi Pakistan masih perlahan walaupun mendapat bantuan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) kerana kadar hutang asing melumpuhkan negara itu, inflasi melambung tinggi dan pengangguran meluas susulan pengusaha kilang kekurangan mata wang asing untuk membeli bahan mentah.

Wujud spekulasi sejak berbulan lalu mengenai kemungkinan PRU ditangguh kerana pemerintah masih bergelut bagi menstabilkan negara yang dibebani krisis keselamatan, ekonomi dan politik.

Data bancian terbaru Mei hanya diterbitkan pada hujung minggu lalu dan kerajaan berkata suruhanjaya pilihan raya memerlukan masa untuk membuat persempadanan semula kawasan pilihan raya, sekali gus mengundang kritikan beberapa parti politik.

Sementara itu, Imran yang menghadapi tuduhan lebih 200 kes undang-undang sejak beberapa bulan kebelakangan ini, berkata pertuduhan terhadapnya bermotifkan politik dan direka untuk menghalangnya daripada bertanding dalam PRU. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya