BAITULMUQADDIS: Pegawai Palestin mengalu-alukan pelantikan Duta Arab Saudi yang pertama di wilayah itu, walaupun kerajaan Riyadh mempertimbangkan untuk menjalin hubungan diplomatik dengan Israel.
Lapor agensi berita Wafa, penasihat diplomatik kepada Presiden Palestin Mahmoud Abbas iaitu Majdi al-Khalidi menerima salinan dokumen tauliah Nayef al-Sudairi sebagai duta bukan pemastautin di Jordan.
Nayef yang merupakan Duta Arab Saudi Ke Jordan, akan berkhidmat sebagai konsul jeneral di Baitulmuqaddis.
Menurut Majdi, pelantikan itu merupakan langkah penting yang akan mengukuhkan lagi `hubungan persaudaraan’ yang terjalin antara kedua-dua negara.
Selain itu, pegawai Arab Saudi juga menganggap pelantikan itu sebagai langkah penting sejajar dengan hasrat Raja Salman dan Putera Mahkota Mohammed Salman untuk mengukuhkan hubungan dengan Palestin dan memacu rangsangan dalam semua bidang.
Secara tradisinya, fail untuk Wilayah Palestin dikendalikan oleh Kedutaan Arab Saudi di Amman.
Dalam pada itu, penganalisis isu Palestin, Talal Okal menyifatkan pelantikan baharu itu sebagai langkah ke arah mewujudkan pejabat perwakilan rasmi Arab Saudi di wilayah Tebing Barat yang diduduki.
“Ia juga memberi mesej jelas bahawa Arab Saudi komited terhadap hak penduduk Palestin dalam pembentukan negara berdaulat sepenuhnya,” katanya.
Pelantikan duta baharu itu berlaku ketika Amerika Syarikat (AS) berusaha menormalisasikan hubungan antara Arab Saudi dan Israel.
Bagaimanapun, pegawai AS, Israel dan Arab Saudi memaklumkan sebarang langkah untuk memeterai perjanjian demikian mungkin mengambil masa yang agak lama disebabkan beberapa isu berbangkit.
Sebelum ini, Riyadh berulang kali menegaskan akan berpegang pada pendirian Liga Arab untuk tidak menjalin hubungan dengan Israel sehingga konflik Palestin diselesaikan.
Namun, sejak beberapa bulan kebelakangan ini, Riyadh dan Washington mengadakan rundingan berkaitan syarat Arab Saudi untuk proses normalisasi.
Ia termasuk jaminan keselamatan dan bantuan program nuklear awam.
Khamis lalu, Menteri Luar Israel, Eli Cohen mendakwa `pendamaian antara Israel dan Arab Saudi akan berlaku pada masa akan datang. – AGENSI