WELLINGTON: Agensi perisikan New Zealand menuduh China melakukan pengintipan, risikan dan campur tangan asing di rantau Asia Pasifik.
Dakwaan mengejutkan itu dibuat New Zealand yang lazimnya berwaspada apabila mengeluarkan kenyataan supaya tidak menimbulkan kemarahan rakan dagang terbesarnya itu.
Agens itu memaklumkan, ‘desakan’ China yang semakin meningkat itu didorong oleh perebutan strategik di rantau Asia Pasifik yang menyaksikan Beijing berusaha untuk bersaing mengatasi Washington dan sekutu Baratnya.
‘Penilaian ancaman’ yang didedahkan itu juga mengatakan agensi perisikan China sentiasa memantau warga China dan bekas pegawai Cina yang menetap di New Zealand.
“Hanya sebilangan kecil terbabit dalam campur tangan terhadap New Zealand, namun ia dilakukan secara berterusan dan berpotensi untuk membawa kemudaratan ketara,” kata laporan itu.
New Zealand adalah sebahagian daripada pakatan perkongsian perisikan Five Eyes bersama Amerika Syarikat (AS), Kanada, United Kingdom (UK) dan Australia.
Bagaimanapun, Wellington pernah dikritik pada masa lalu kerana bertindak tidak tegas terhadap China dengan meletakkan hubungan perdagangan rapat melebihi kebimbangan keselamatan sekutunya.
Dengan mengeluarkan laporan itu kepada umum buat kali pertama, Perkhidmatan Perisikan Keselamatan New Zealand menunjukkan kesediaan bersuara dan mengambil risiko berdepan kemarahan Beijing.
Selain China, laporan itu turut mengetengahkan aktiviti pengintipan yang dikaitkan dengan kerajaan Iran dan Russia.
Laporan itu juga menyatakan ekstremisme ganas, yang menjadi kebimbangan utama susulan pembunuhan beramai-ramai di masjid Christchurch 2019, terus didorong oleh retorik antikerajaan yang tersebar dalam talian. – AFP