DUBLIN: Bank of Ireland berdepan krisis selepas ribuan pelanggan menyerbu mesin pengeluaran wang automatik (ATM) untuk mendapatkan ‘duit percuma’ akibat masalah teknikal yang berlaku.
Bank itu menerusi satu kenyataan pada Selasa lalu mengakui aplikasi dalam talian dan laman sesawang perbankan mengalami masalah, setelah menerima banyak aduan daripada pengguna.
Namun, pada petang hari itu, pelanggan mendapat tahu mereka boleh mengeluarkan atau memindahkan wang melebihi jumlah dalam akaun mereka menerusi mesin ATM.
Pasukan keselamatan Gardai diarahkan untuk meleraikan barisan panjang di kebanyakan mesin ATM ketika orang ramai beratur untuk mengambil kesempatan akibat masalah teknikal bank itu.
Beribu-ribu penduduk didapati beratur di sekitar blok di luar beberapa cawangan Bank of Ireland untuk mengeluarkan wang tunai walaupun mereka tidak mempunyai duit dalam akaun mereka.
“Ada penduduk mengeluarkan sejumlah wang walaupun akaun mereka tiada baki.
“Ramai menganggapnya seperti pemberian wang percuma. Gardai dikerahkan untuk meleraikan barisan panjang itu.
“Individu yang mengeluarkan wang ini perlu membayar balik semua wang yang mereka ambil,” menurut sumber.
Ralat membabitkan aplikasi dalam talian itu membolehkan penduduk yang tidak mempunyai baki dalam akaun membuat pindahan wang sehingga 1,000 euro (RM5,048) ke akaun Revolut mereka.
“Mereka kemudian boleh mengeluarkan wang tunai daripada akuan Revolut melalui mana-mana ATM,” jelas laporan.
Ketika berita dan rakaman video tersebar luas di media sosial, pengeluaran segera wang tunai di beberapa lokasi termasuk di Dublin, Limerick, Navan dan daerah Meath masih berterusan sehingga dihalang oleh pasukan keselamatan Gardai.
Tindakan itu turut didatangi amaran mengingatkan orang ramai bahawa tiada perkara yang percuma dan wang itu perlu dibayar balik.