JAKARTA: Penumpang kini boleh menikmati masa perjalanan yang lebih singkat ketika bergerak di sekitar bandar Jakarta selepas pelancaran Transit Aliran Ringan (LRT) Greater Jakarta kelmarin.
Selepas beberapa kali ditunda, perkhidmatan LRT berkenaan akhirnya membuka tirai kepada pengguna sejurus dirasmikan oleh Presiden, Joko Widodo (Jokowi)yang meliputi 18 stesen di dua laluan sekitar kawasan Jabodetabek.
Laluan Cibubur bermula dari Dukuh Atas ke Harjamukti sementara laluan Bekasi bergerak dari Dukuh Atas ke Jati Mulya.
Ketika berucap pada majlis perasmian tersebut, Jokowi berkata, beliau berharap laluan baharu itu akan membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas di ibu negara.
Jokowi turut menyeru orang ramai untuk beralih kepada pengangkutan awam dan memilih menaiki LRT yang mampu mengurangkan lebih separuh masa perjalanan berbanding kenderaan lain.
Bagaimanapun pakar menjangkakan isu kesesakan di jalan-jalan utama bandar itu masih memerlukan masa lebih panjang untuk diselesaikan.
Penganalisis Ekonomi Universiti Sains Sosial Singapura (SUSS), Profesor Dr. Walter Theseira berpendapat, agak sukar untuk mengharapkan satu pelaburan pengangkutan awam dapat mengubah kesesakan lalu lintas secara drastik.
“Ia memerlukan pelaburan berterusan dalam perkhidmatan pengangkutan awam, serta dasar untuk mengurus permintaan lalu lintas bagi mengubah kesesakan dalam jangka panjang,” katanya kepada Channel News Asia.
Beliau berkata, menyelesaikan isu kesesakan lalu lintas secara berkesan juga memerlukan usaha menangani permintaan untuk pengangkutan persendirian.
“Üsaha sedemikian termasuk sekatan pemilikan dan penggunaan kereta di Singapura atau pelaksanaan sekatan tempat letak kereta di banyak bandar Jepun yang secara berkesan menyukarkan untuk memiliki dan menggunakan kereta.
“Kemungkinan Jakarta juga perlu mempertimbangkan dasar ini pada satu ketika, selain menambah baik infrastruktur pengangkutan awamnya,” katanya.