HELSINKI: Seorang lelaki Finland ditahan polis gara-gara cuba melakukan aksi ‘prank’ dengan meletakkan 12 kilogram bahan letupan di dalam kereta rakannya.
Lapor Daily Mail, sisi lucu gurauan berbahaya itu tidak menjadi, sebaliknya rakan lelaki itu segera membuat laporan polis menyebabkan dia ditangkap.
Lelaki itu bagaimanapun dibebaskan tetapi mengaku meletakkan bahan letupan di dalam dua kereta rakannya itu pada 3 Ogos lalu.
Ketua Inspektor Polis Ostrobothnia, Tony Rauma berkata, kedua-dua lelaki itu mengenali antara satu sama lain dan tinggal di sebuah kampung kecil di kawasan Pedersore di Ostrobothnia.
Beliau berkata, skuad bom polis terpaksa mengosongkan bangunan berhampiran berikutan kuantiti bahan letupan yang banyak.
Pelaku gurauan itu berkata, dia tidak berniat untuk meletupkan bahan dinamit itu dan polis masih menyiasat dari mana dia memperoleh peranti itu.
Polis menolak sebarang kemungkinan tentang aktiviti keganasan, tetapi suspek kini dilaporkan berdepan hukuman penjara dua tahun.