TEHERAN: Pemilik sebuah agensi hartanah di Iran ditahan selepas didapati membantu pasangan suami isteri tanpa waris menukar hak milik rumah kepada anjing peliharaan mereka.
Lapor Oddity Central, ahli perniagaan yang tidak didedahkan identiti akhirnya dikenakan hukuman penjara, serta syarikat hartanahnya terpaksa ditutup.
Tindakan itu diambil selepas sebuah video menunjukkan lelaki itu membantu proses pemindahan hak milik rumah pasangan berkenaan yang tular dalam media sosial.
Dalam klip video pendek, lelaki itu dilihat sedang menyiapkan dokumen sebelum ditandatangani pasangan suami isteri dan anjing peliharaan mereka bernama Chester.
“Pemilik rumah itu hanya menyapu sedikit dakwat pada kaki Chester dan kemudian meletakkan cap itu pada dokumen kontrak yang dianggap sebagai tandatangan anjing.
“Kedengaran suara ejen itu sedang menerangkan mengenai hartanah.
“Sebaik sahaja proses penukaran milik selesai, pemilik Chester dilihat memeluk dan mengucapkan tahniah kepada anjing itu,” jelas laporan itu.
Rakaman proses pemindahan hak milik rumah itu menjadi tular di Iran sehingga pemilik agensi hartanah itu berjaya ditahan kelmarin.
Lelaki itu ditahan atas kesalahan `menormalkan pelanggaran nilai moral masyarakat yang sememangnya ditentang oleh kerajaan’.
“Polis menahan pemilik agensi hartanah dan menutup firma itu pada Sabtu lalu,” kata Timbalan Pendakwa Raya, Reza Tabar.