Lelaki didakwa kurung isteri selama 12 tahun di rumah ditahan polis - Utusan Malaysia

Lelaki didakwa kurung isteri selama 12 tahun di rumah ditahan polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

FORBACH: Seorang lelaki warga Jerman ditahan selepas polis Perancis menemui isterinya berada dalam keadaan bogel dan tidak bermaya serta mendakwa dikurung selama 12 tahun di kediaman pasangan itu.

Bagaimanapun, lelaki berusia 55 tahun itu menafikan tuduhan berkenaan, sebaliknya mendakwa bahawa dia menjaga isterinya yang menghidap penyakit barah.

Menurut sumber polis, semalam, wanita warga Jerman berumur 53 tahun itu dijumpai dalam sebuah bilik tidur di pangsapuri terbabit dengan mempunyai pelbagai kecederaan, kepala botak dan kekurangan zat makanan, sekali gus tidak menolak kemungkinan dia didera.

Selepas dia diperiksa oleh perkhidmatan perubatan forensik tempatan, Pendakwa Raya, Olivier Glady memberitahu AFP bahawa keadaan kesihatan wanita itu berada pada tahap tidak baik.

Namun pada sidang media kemudian, Glady berkata, hasil pemeriksaan awal tidak menemui sebarang keretakan atau lebam, iaitu bercanggah dengan laporan media.

Beliau berkata, hasil ujian darah menunjukkan wanita itu tidak mengalami nyahhidrat yang ketara, selain memberikan kenyataan yang ‘tidak konsisten’ kepada penyiasat.

“Siasatan turut melihat kepada kemungkinan kes akan beralih daripada ‘senario seram’ kepada keadaan penjagaan orang sakit yang tidak memuaskan,” katanya.

Glady berkata, kepala wanita itu yang botak dan badan kurus berkemungkinan disebabkan barah, manakala keadaannya yang separuh bogel boleh dijelaskan dengan mengambil kira fakta bahawa polis pergi ke pangsapuri mereka pada waktu pagi untuk menahan suami.

Hasil siasatan polis juga mendapati bilik tidur terbabit dan bilik lain di pangsapuri itu dipasang dawai logam. Glady berkata, ia berkemungkinan untuk mengelak 10 kucing peliharaan mereka daripada keluar rumah itu yang terletak di Forbach di timur Perancis, berhampiran sempadan Jerman.

Beliau berkata, suami wanita itu tidak mempunyai pekerjaan tetapi dipercayai pernah bekerja dalam industri Jerman sebelum ini, dan polis melanjutkan tempoh penahanannya selama 24 jam.

Dalam pada itu, sumber polis berkata, terdahulu wanita berkenaan mendapat akses kepada telefon lalu menghubungi polis di Wiesbaden, barat Jerman, sebelum perkara berkenaan dimaklumkan kepada pihak berkuasa Perancis.

Polis dilaporkan juga pernah dipanggil ke kediaman pasangan itu pada 2019, namun tidak mengesan sebarang tanda wujudnya masalah. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya