TALLAHASSEE: Seorang lelaki ditahan selepas didapati membunuh bayinya berusia dua bulan dengan menyumbat tekak anak kecil itu menggunakan tisu basah.
Lapor ABC News, polis berkata, penahanan itu dibuat selepas siasatan lebih dua tahun dijalankan bagi mengenal pasti punca kematian bayi perempuan itu.
Menurut kenyataan dari Pejabat Sheriff Indian River County, kejadian itu berlaku pada 28 Mei 2021.
“Ketika itu, pasukan kecemasan pejabat sheriff menerima panggilan daripada Jason Napier berhubung bayinya yang dalam keadaan tidak sedar diri di rumahnya di Pantai Vero, Florida.
“Anggota kecemasan memaklumkan cara memberi bantuan pernafasan kecemasan (CPR) kepada bayinya, selain turut menghubungi pegawai polis dan anggota bomba untuk ke lokasi berkenaan.
“Selepas tiba di rumah, mereka mendapati bayi itu masih tidak sedarkan diri dan wajahnya bertukar menjadi biru.
“Bayi itu kemudian dikejarkan ke hospital berdekatan namun meninggal dunia selepas gagal diselamatkan,” jelas kenyataan.
Ketika memberi keterangan semasa siasatan awal, Napier mendakwa bayinya tercekik setelah mengesan objek kecil tersekat pada tekak anak kecil itu.
“Dia kemudian memperincikan situasi berlaku serta mendakwa meninggalkan bayinya tanpa pengawasan, di atas sofa bersama anak perempuannya berusia 18 bulan selama kira-kira 10 minit,” jelas kenyataan.
Sementara itu, polis memaklumkan Napier akan didakwa atas tuduhan pembunuhan.
Katanya, lelaki itu ketika ini ditahan di Penjara Indian River County dengan bon AS$750,000 (RM3.41 juta).