LONDON: Satu data mendedahkan Republik Czech dinamakan sebagai negara yang mempunyai bilangan lelaki berkepala botak paling ramai di dunia.
Angka yang disusun oleh World Population Review berdasarkan data dari Vantage Hair Clinic mendedahkan senarai 21 negara populasi lelaki yang botak.
Sebahagian besar jumlah itu membabitkan individu berbangsa Kaukasia, golongan yang lebih cenderung mengalami masalah keguguran rambut lebih cepat berbanding kaum lain.
Daripada semua 21 negara yang dikaji, sekurang-kurangnya satu perempat populasi lelaki dalam proses mengalami keguguran rambut atau sudah botak sepenuhnya.
Lapor Daily Mail, para penyelidik mendapati negara Republik Czech menduduki tempat pertama, dengan 42.8 peratus populasi lelaki dewasa mengalami masalah keguguran rambut.
“Diet mungkin menjadi salah satu faktornya. Masakan Czech amat berat dalam sup pekat, stew, hidangan daging, kanji dan bir.
“Makanan ini kebarangkalian mempunyai jumlah vitamin dan mineral rendah yang diperlukan untuk pertumbuhan rambut,” jelas laporan.
Sepanyol menduduki tempat kedua dalam senarai itu dengan 42.6 peratus golongan lelaki mengalami masalah kepala botak.
Ia diikuti dengan Jerman pada tangga ketiga dengan mencatatkan 41.2 peratus dan Perancis di tempat keempat (39.24 peratus).
United Kingdom (UK) menduduki tempat kelima dengan 39.2 peratus lelaki mengalami sedikit masalah keguguran rambut.
Amerika Syarikat (AS) pula berada di tangga kelapan dengan mencatatkan 38 peratus.
Menurut American Hair Loss Association (AHLA), kira-kira 95 peratus masalah keguguran rambut dialami golongan lelaki disebabkan oleh alopecia androgenetik.