TOKYO: Lebih 700 syarikat pengeksport makanan Jepun terjejas akibat larangan import produk hasil laut yang dikenakan China susulan pelepasan air radioaktif terawat dari loji nuklear Fukushima ke Lautan Pasifik.
Jepun memulakan pelepasan lebih satu juta tan padu air radioaktif terawat dari loji yang dikendalikan oleh Tokyo Electric Power Company kelmarin, sekali gus mendorong China mengumumkan larangan menyeluruh ke atas semua produk akuatik dari 10 wilayah di Jepun.
Menurut Teikoku Databank yang berpangkalan di Tokyo, 727 syarikat Jepun mengeksport produk makanan ke China, menyumbang kira-kira lapan peratus daripada keuntungan perdagangan antara kedua-dua negara tersebut.
Jepun mengeksport produk hasil laut bernilai kira-kira AS$600 juta (RM2.7 bilion) ke China pada tahun 2022, menjadikannya pasaran terbesar untuk eksport Tokyo, dengan Hong Kong di tempat kedua.
Menurut data kerajaan, jualan ke China dan Hong Kong menyumbang 42 peratus daripada semua eksport produk hasil laut Jepun sepanjang tahun lalu.
Korea Selatan turut mengumumkan akan memperluaskan secara drastik ujian radiasi terhadap makanan laut ternakan selepas menerima gesaan daripada nelayan dan orang ramai yang khuatir dengan keselamatan produk berkenaan.
Timbalan Menteri Perikanan Korea Selatan, Park Sung-hoon berkata, lebih 4,000 ujian tambahan akan dijalankan di institusi swasta ke atas produk hasil laut yang diternak menjelang akhir tahun ini sebelum dihantar keluar untuk dieksport.
Pakar akan mengeluarkan sampel dari kawasan ternakan ikan untuk diperiksa di makmal namun menurut beliau, tiada sinaran radiasi dikesan sejak ujian bermula pada akhir Julai lalu.
Jepun berkata pelepasan air itu selamat dengan menegaskan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) sudah membuat kesimpulan bahawa kesan buruk terhadap manusia dan alam sekitar hanya pada kadar minimal.-REUTERS