HANOI: Sekurang-kurangnya lapan orang maut dalam kejadian tanah runtuh dan banjir kilat yang melanda utara Vietnam.
Perkara itu disahkan oleh agensi pengurusan bencana negara itu.
Selepas dilanda gelombang panas dan kemarau berpanjangan selama berbulan-bulan, hujan lebat yang bermula awal Ogos ini menjejaskan ratusan kediaman penduduk dan memusnahkan tanaman.
Agensi pengurusan bencana berpangkalan di Hanoi dalam laporan disiarkan di media sosial mengesahkan dua kanak-kanak antara mangsa yang maut.
Lapan mangsa meninggal dunia dalam kejadian berlaku di wilayah kawasan pergunungan Yen Bai, Lai Chau, Son La dan Thai Nguyen.
Media kerajaan menyiarkan beberapa gambar menunjukkan rumah penduduk dinaiki air lumpur serta jalan raya di kawasan itu terjejas akibatnya strukturnya hampir terbelah dua dan pokok tumbang.
Dilaporkan, akses ke beberapa kampung komuniti etnik turut terputus.
Sementara itu, tanah runtuh turut melanda bahagian tengah Vietnam.
Sekurang-kurangnya tiga anggota polis dan seorang penduduk maut apabila sebuah balai tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di bandar Dalat, Central Highlands.
Menurut pihak berkuasa, kawasan Central Highlands dan selatan Vietnam merekodkan taburan hujan kira-kira lima hingga 10 peratus lebih tinggi berbanding kebiasaan sejak musim hujan bermula Mei lalu.
Tahun lalu, bencana alam mengakibatkan sekurang-kurangnya 175 orang terbunuh di Vietnam. – AFP