KARACHI: Sekurang-kurangnya 30 orang terbunuh apabila sebuah kereta api tergelincir di selatan Pakistan semalam.
“Kemalangan kali ini agak besar. Pasukan penyelamat sudah tiba di lokasi dan sekurang-kurangnya 30 penumpang terbunuh dan 60 cedera.
“Lebih banyak pasukan penyelamat dihantar ke lokasi untuk membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR),” kata Menteri Hal Ehwal Kereta Api, Khawaja Saad Rafique kepada media.
Media tempatan melaporkan, tragedi itu berlaku berhampiran stesen kereta api Sahara di bandar Nawabshah di wilayah selatan Sindh.
“Hazara Express dalam perjalanan dari Karachi ke Abbottabad dan lapan gerabak sudah tergelincir,” kata seorang pegawai kereta api, Mohsin Syal kepada HUM News.
Selain itu, seorang pegawai kereta api wilayah, Ijaz Shah kepada AFP berkata, terdapat beberapa penumpang terbunuh dan kereta api bantuan sudah dihantar ke tapak itu.
Imej yang disiarkan ke media tempatan menunjukkan berpuluh-puluh orang berada di lokasi kemalangan, dengan beberapa tingkap dipecahkan untuk membantu penumpang keluar dari gerabak yang berpusing dan sekurang-kurangnya satu gerabak terbalik.
Kemalangan dan tragedi kereta api tergelincir sering berlaku pada sistem kereta api usang Pakistan.
Pada Jun 2021, dua kereta api bertembung berhampiran Daharki di Sindh yang mengorbankan sekurang-kurangnya 65 orang dan mencederakan kira-kira 150 yang lain.
Dalam kemalangan itu, sebuah ekspres tergelincir ke landasan bertentangan sebelum sebuah lagi kereta api penumpang merempuh tapak kemalangan awal kira-kira seminit kemudian.
Pada Oktober 2019, sekurang-kurangnya 75 penumpang maut dalam kebakaran di dalam kereta api ekspres Tezgam, manakala perlanggaran dua kereta api di Ghotki pada 2005, turut mengorbankan lebih 100 orang. – AFP